Saturday, October 22, 2011

Pengasas aqidah sunni bukan imam Abu Hasan al-Asy’ari dan pembelaan kepada beliau



Imam Abu Hassan al-Asy’ari merupakan imam tersohor dikalangan ahlu sunnah wal jamaah. Nama penuh beliau ialah Abu al-Hasan Ali bin Ismaa'il bin Abi Bishr Ishaaq, keturunannya bersambung kepada Abu Musa al-Asha’ri  RA, sahabat nabi yang mulia.  Dia dilahirkan pada tahun 260H dan wafat pada tahun 330H (menurut pandangan terkuat) . Kepada beliaulah disandarkan mazhab Asya’irah. 

Sepertimana yang masyhur disebutkan, Imam Asya‘ari pernah berguru kepada Abu Ali Jubai yang berfahaman mu’tazilah selama lebih 40 tahun. Setelah berdialog dengan gurunya,  akhirnya telah kembali kepada mazhab Ahlu sunnah pada akhir hidupnya

Pegangan akhir beliau disebutkan dalam kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah dan diulangi dalam kitab yang lain berjudul Maqalat al-Islamiin wa Ikhtilaf al-Musollin 

Golongan syiah rafidah meletakkan dua tomahan utama untuk meragukan pegangan ahlu sunnah wal jamaah.
InsyaAllah, kita akan meneliti dan menjawab tomahan mereka




 Tohmahan pertama: Ahlu sunnah bersumberkan kepada Abu Hassan al-Asya’ari

Golongan syiah menggambarkan sumber utama ahlu sunnah ialah berdasarkan kepada apa yang disandarkan kepada Abu Hassan al-Asy’ari

Syiah menulis

“…pada tahun 310 hijrah iaitu abad ke-3 barulah dia mengakui kesalahan dan kesilapannya atau kesesatan pegangan aqidahnya seterusnya mengisytiharkan fahaman baru. Persoalannya, abad ke-3 adalah sangat jauh dengan zaman Nabi dan para sahabat. 

…. Seterusnya, 4 orang ulama mujtahid mutlaq feqah yang bernaung di bawah aqidah Abul Hasan adalah lebih awal lahir dan mati sebelumnya. Jadi siapakah para pengikut Sunni merujuk soal aqidah mereka sebelum kelahiran Abul Hasan??

Apakah umat Islam sebelum itu berada dalam kesesatan tanpa memperdulikan soal aqidah dan hanya menumpukan soal feqah hinggalah Abul Hasan lahir memperbetul dan menyusun aqidah mereka?



Jawapan kepada tohmahan pertama

Kenyataan syiah di atas sangat tersasar dari kebenaran. Hakikatnya ahlu sunnah tidak berpegang kepada Abul Hassan sebaliknya berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih

Inilah dasar pegangan kepada para imam yang empat seperti Abu Hanifah (150H), Malik bin Anas (179H), al-Syafi‘i (204H) dan Ahmad bin Hanbal (241H) rahimahullah ‘alaihim ajma‘in. 

Mereka semua berada di dalam mazhab ahl al-sunnah dan bukan pengasasnya. Begitu jugalah Abul Hasan al-Asya’ari

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (728H) menyebutkan

مَذْهَبُ  أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ مَذْهَبٌ قَدِيمٌ مَعْرُوفٌ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ اللَّهُ أَبَا حَنِيفَةَ وَمَالِكًا وَالشَّافِعِيَّ وَأَحْمَدَ، فَإِنَّهُ مَذْهَبُ 
الصَّحَابَةِ الَّذِينَ تَلَقَّوْهُ عَنْ نَبِيِّهِمْ، وَمَنْ خَالَفَ ذَلِكَ كَانَ مُبْتَدِعًا عِنْدَ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ

Terjemahan: Mazhab Ahlu sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab lama yang sudah pun dikenal sebelum Allah mencipta Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘i dan Ahmad. Ia sesungguhnya adalah mazhab para sahabat yang mereka ambil secara terus dari Nabi mereka. Dan sesiapa yang menyalahi daripada yang demikian dialah pembuat bid'ah di sisi ahlu sunnah wa al-jama‘ah.

Rujukan: Minhaj al-Sunnah, 2/601, Maktabah Shamela

Abul Hasan al-Asya’ari tidak mengasaskan ajaran baru seperti yang didakwakan syiah. Sebaliknya dia berusaha membelanya dari beberapa aliran baru yang wujud pada zamannya. Walaupun pada mulanya beliau  tersasar, namun akhirnya beliau telah kembali kepada aqidah yang benar. 

al-Baihaqi (456H) rahimahullah menjelaskan

…. شيخنَا أَبِي الْحسن الْأَشْعَرِيّ رَحْمَة اللَّه فَلم يحدث فِي دين اللَّه حَدثا وَلم يَأْتِ فِيهِ ببدعة بل أَخذ أقاويل الصَّحَابَة وَالتَّابِعِينَ وَمن بعدهمْ من الْأَئِمَّة فِي أصُول الدّين فنصرها بِزِيَادَة شرح وتبيين وَأَن مَا قَالُوا فِي الْأُصُول وَجَاء بِهِ الشَّرْع صَحِيح فِي الْعُقُول خلاف مَا زعم أهل الْأَهْوَاء من أَن بعضه لَا يَسْتَقِيم فِي الآراء فَكَانَ فِي بَيَانه تَقْوِيَة مَا لم يدل عَلَيْهِ من أهل السّنة وَالْجَمَاعَة وَنَصره أقاويل من مضى من الْأَئِمَّة كَأبي حنيفَة وسُفْيَان الثَّوْريّ من أهل الْكُوفَة وَالْأَوْزَاعِيّ وَغَيره من أهل الشَّام وَمَالك وَالشَّافِعِيّ من أهل الْحَرَمَيْنِ وَمن نجا نَحْوهمَا من الْحجاز وَغَيرهَا من سَائِر الْبِلَاد وكأحمد ابْن حَنْبَل وَغَيره من أهل الحَدِيث 
Terjemahan: ..Syaikh kami, Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah tidaklah mencipta di dalam agama Allah ini sesuatu yang baru dan tidaklah dia mendatangkan padanya sesuatu bid‘ah. Sebaliknya beliau mengambil doktrin para sahabat dan para tabi‘in dan daripada (orang-orang) sesudah mereka daripada kalangan para imam dalam prinsip agama. Kemudian beliau mempertahankannya dengan memberi syarahan tambahan dan penjelasan. Dan (beliau membuktikan) bahawa apa yang diperkatakan tentang persoalan prinsip (agama) dan apa yang datang tentangnya dari pembuat syari‘at (Allah) adalah benar di sisi akal yang sahih, berbeza dengan apa yang didakwa oleh para pengikut hawa nafsu bahawa sebahagian daripada prinsip tersebut tidak selari dengan pandangan akal.

Maka penjelasan beliau merupakan penguat kepada apa yang (sebelum itu) tidak dibuktikan ke atasnya oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan pertahanan kepada doktrin para imam sebelumnya seperti Abu Hanifah dan Suyfan al-Tsauri daripada kalangan ahli Kufah, al-Auza‘i dan selainnya daripada kalangan ahli Syam, Malik dan al-Syafi‘i daripada kalangan ahli Haramain dan sebagainya daripada kalangan Semenanjung Arab dan baki yang seterusnya daripada lain-lain negeri, dan seperti Ahmad bin Hanbal dan selainnya daripada kalangan Ahl al-Hadits.

Rujukan: Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir (571H) di dalam Tabyin Kazb al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari, 1/103, Maktabah Shamela

Dengan kefahaman dan fakta betul, maka tertolaklah dakwaan syiah rafidah dan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan menjadi tidak relevan

Tohmahan kedua: Penghinaan syiah kepada Abul Hassan al-Asya’ari

Golongan syiah cuba mempamerkan Abul Hassan al-Asya’ari sebagai seorang jahil

Syiah bertanyakan beberapa soalan berikut

‘Jadi, apakah sumber pengambilan bagi aqidah baru ciptaannya itu?? Apakah sumbernya sama dengan rujukannya ketika berfahaman Mu’tazilah dahulu iaitu al-Quran dan As-Sunnah? Jika benar mengapa ketika dia berfahaman Mu’tazilah langsung tidak dapat memahami kedua sumber tersebut sejak awal lagi hingga perlu menunggu sampai umurnya 50 tahun baru dia menyedari fahamannya sebelum ini sesat? Apakah tahap pemahamannya kurang ketika itu hinggalah umurnya tua baru dia memahami kedua sumber rujukan Islam tersebut?

Soalan-soalan ini sebenarnya dilontarkan syiah untuk mempertikaikan pegangan Abul Hassan al-Asya’ari dan juga kredibiliti beliau

Berkenaan pegangan beliau, ia telah dijawab pada tomahan pertama kini kita beralih kepada tomahan kredibiliti beliau

Jawapan kepada tohmahan kedua 

Sikap untuk kembali kepada kebenaran bukanlah sesuatu yang jelik. Alangkah pelik apabila syiah menohmah Abul Hasan al-Asya’ari tapi dalam masa yang sama berbangga dengan tokoh-tokoh sunni yang mereka dakwa menjadi syiah.

Ambillah contoh mudah, ulama mereka Dr. Muhammad at Tijani as Samawi yang dibanggakan kerana menjadi syiah( hujah beliau dijawab Syeikh Khalid al-‘Asqalani), mengapa soalan-soalan berikut tidak ditanyakan kepada beliau?? Bukankah syiah mendakwa dia telah kembali kepada kebenaran (pada pandangan syiah)?? 

Apabila tokoh sunnah (seperti yang didakwa syiah) menjadi syiah, maka itu menjadi kebanggaan tapi apabila ulama sunnah menyedari kesilapannya pada usia yang tua itu dikritik??

Hakikatnya, kembali kepada kebenaran tidak mengenal usia. Hidayah milik Allah semata-mata

Berbalik kepada Abul Hasan al-Asya’ari, apabila dikaji biografi beliau, ditemui beberapa contoh di mana al-Asya‘ari telah berdialog dengan gurunya al-Juba’i dan berbeza pendapat dengannya. Ini seperti yang dinukilkan oleh al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq. 

Malahan kekadang al-Asya‘ari menolak secara keras pendapat gurunya dalam hal-hal tertentu. 

Inilah sebaik-baik bukti bahawa al-Asya‘ari bukanlah merupakan seorang murid yang hanya tunduk kepada gurunya tetapi beliau adalah seorang tokoh memiliki prinsip tersendiri.

Namun untuk meninggalkan gurunya, ia memerlukan tempoh dan penelitian dan bukannya ‘hanya sekelip mata’. 

Perkara ini sama sekali tidak menggugurkan kredibiliti beliau selaku tokoh bahkan ia menunjukkan dia berani menegakkan kebenaran.  Seseorang hanya jatuh kredibilitinya apabila dia tetap taksub pada kesalahan gurunya

Rujukan


No comments: