Wednesday, October 19, 2011

Menjawab isu Rasulullah s.a.w mempunyai lebih dari empat isteri


Sebahagian golongan pengkritik Islam cuba mencari-cari alasan menjatuhkan kredibiliti Rasulullah s.a.w.

Mereka tanyakan, 

Bukankah al-Quran jelas melarang lelaki muslim mengahwini lebih dari empat isteri?? Jika demikian, bagaimana mungkin Muhammad s.a.w mempunyai lebih dari empat isteri?? Apakah baginda cakap tak serupa bikin?? Apakah baginda begitu kuat seksnya sehingga tak mampu mengamalkan apa yang baginda katakan!!!

Nau’zubillah, inilah antara tuduhan dan tomahan mereka terhadap peribadi baginda yang mulia.

InsyaAllah, dalam artikel yang ringkas ini, kita akan sentuh secara ringkas isu yang dimainkan ini.



 Pengkhususan kepada nabi adalah ketetapan Allah s.w.t

Al-Quran sendiri telah membersihkan nabi dengan mengizinkan baginda s.a.w beristeri lebih dari empat. 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَنْ يَسْتَنْكِحَهَا خَالِصَةً لَكَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (50)

Terjemahan: Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri- isterimu yang telah kamu berikan mas kawinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikaruniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mau mengawininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Ahzab 33:50)

Ini jelas menunjukkan keizinan Allah kepada Rasulullah s.a.w adalah khusus kepada baginda dan bukan kepada muslim yang lainnya.

Golongan anti-Islam akan berkata, bukankah pengkhususan kepada nabi ini tidak adil?? Bukankah ini menguntungkan baginda??

Saya menjawab pengkhususan kepada nabi hendaklah dinilai secara adil. Pengkhususan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Selain pengkhususan ini, terdapat beberapa pengkhususan lain yang tampak ‘merugikan’ baginda

Sebagai contoh, solat tahajjud merupakan kewajipan kepada baginda s.a.w tapi tidak pada umatnya

Ulama tafsir terkenal, imam Ibnu Kathir  menyebutkan berkenaan ayat suruhan bertahajud dalam al-Isra’ ayat 79

واختلف في معنى قوله: {نافلة لك} فقيل: معناه أنك مخصوص بوجوب ذلك وحدك، فجعلوا قيام الليل واجبا في حقه دون الأمة. رواه العوفي عن ابن عباس، وهو أحد قولي العلماء، وأحد قولي الشافعي، رحمه الله، واختاره ابن جرير

Terjemahan: Dan diperselisihkan akan makna 'Sebagai suatu amalan sunat bagimu'' maka dikatakan maknanya ialah ''Bahawa engkau seorang saja yang dikhususkan dengan kewajipannya'' lalu mereka menjadikan qiyamulail sebagai hak Rasululah (SAW) dan bukan umatnya. Riwayat Al-Aufi dari Ibn Abbas dan ia satu dari dua qaul ulama', dan satu dari dua qaul Asy-Syafei, dan ini dipilih oleh Ibn Jarir.

Rujukan: Tafsir al-Quran al-Azim, 5/103, Maktabah Shamela 

Rasulullah s.a.w juga khusus boleh melakukan puasa wisal. Puasa wishal bermaksud puasa dua hari berturut-turut dengan tanpa berbuka. Namun perbuatan ini dilarang kepada umatnya

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاصَلَ فِي رَمَضَانَ، فَوَاصَلَ النَّاسُ، فَنَهَاهُمْ قِيلَ لَهُ: أَنْتَ تُوَاصِلُ؟ قَالَ: «إِنِّي لَسْتُ مِثْلَكُمْ إِنِّي أُطْعَمُ وَأُسْقَى»

Terjemahan: Dari Ibnu Umar radiyaAllahu ‘anhuma(katanya), ‘Sesungguhnya Rasulullah sallahu a’laihi wassalam berpuasa wisal dalam bulan ramadhan ,  maka berwisal mereka (para sahabah), Baginda melarang mereka dan dikatakan kepada beliau, ‘ Engkau berwisal? Baginda berkata,’ Tidak aku seperti kamu, aku diberi makan dan minum ( yakni diberi kekuatan oleh Allah) 

Rujukan: Sahih Muslim, Kitab Siyam, Bab Larangan Berwisal dalam Siyam, hadith no 1102

Nah!! bukankah pengkhususan ini sama sekali tidak ‘menguntungkan baginda’? Mengapa baginda sanggup mewajibkan solat dan puasa kepada diri sendiri sedangkan ia menyusahkan beliau?? 

Apakah logik seorang yang bersusah payah bersolat di waktu malam dan menahan lapar serta dahaga juga seorang yang kaki seks?? 

Apakah mungkin seorang gila seks berkahwin dengan majoritinya janda sedangkan selaku pemerintah agung, dia boleh saja memilih kesemuanya muda dan dara??

Apakah logik seorang yang gila seks tapi tetap bersama isteri pertamanya dan tidak berkahwin lain selama 23 tahun?? Apakah itu satu yang logik?? 

Bukankah isteri baginda sendiri memberi pengakuan bahawa baginda paling mampu mengawal nafsunya hatta mencium isterinya di bulan puasa dengan tanpa melakukan persetubuhan???
Bukti-bukti ini jelas menunjukkan pengkhususan kepada Rasulullah sallahu a’laihi wassalam merupakan hikmah yang datang dari Allah s.w.t dan bukanlah semata-mata menguntungkan baginda serta ia bukanlah bermotif seks semata-mata.

Hikmah baginda beristeri lebih dari empat

Banyak hikmah yang boleh dikaji dan diperhatikan melalui perkahwinan Rasulullah sallahu a’alaihi wassalam dengan banyak isteri

Jika diteliti dengan terperinci, setiap perkahwinan ini sebenarnya membawa kepada transformasi sosial, tujuan  politik dan manfaat ilmu

Dalam artikel yang ringkas ini, saya tidak berniat untuk membicarakan setiap hikmah dan konteks perkahwinan tersebut. Ia memerlukan artikel yang panjang

Silalah menelaah link berikut untuk menambah kefahaman dalam bab ini


Kemuliaan isteri-isteri Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam

Antara hikmah lain ialah perkahwinan ini mengangkat darjat isteri-isteri baginda Rasulullah sallahu a’laihi wassalam

Kesemua isteri-isteri baginda digelar ‘ummahatul mukminin’ yakni ibu-ibu orang beriman

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَنْ تَفْعَلُوا إِلَى أَوْلِيَائِكُمْ مَعْرُوفًا كَانَ ذَلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا (6)

Terjemahan: Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka, Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmim dan
orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah) (al-Ahzab 33: 6)

Rasulullah sallahu a’alaihi wassalam juga dilarang untuk menceraikan mereka 

لَا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلَا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ رَقِيبًا (52)

Terjemahan: Tidak halal bagimu mengawini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan- perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu (al-Ahzab ayat 52)

Isteri-isteri baginda ini tidak boleh dikahwini selepas kewafatan baginda kerana mereka adalah ibu orang yang beriman. Mana mungkin para sahabah mengahwini ibu mereka sendiri. Tambahan, bayangkan kekacauan yang timbul jika mereka boleh dikahwini kemudiannya. Pastinya akan berlaku perebutan dalam  mendapatkan kemuliaan isteri-isteri baginda. Maka larangan ini memang relevan

Kesimpulan

Rasulullahu sallahu a’laihi wassalam mempunyai lebih dari empat isteri bukanlah sesuatu yang tidak konsisten dengan ajaran Islam. Bahkan Allah sendiri membenarkannya sebagai sesuatu yang khusus untuk baginda
Sesuatu yang khusus untuk baginda bukanlah mesti menguntungkan baginda bahkan ia merupakan satu ketetapan dari Allah yang mempunyai hikmahnya tersendiri

Terlalu banyak hikmah yang diperolehi dari perkahwinan baginda. Ia memerlukan artikel yang panjang untuk menghuraikan satu persatu hikmah tersebut

Perkahwinan ini mengangkat darjat isteri-isteri nabi dan bukanlah merendahkan mereka.

Rujukan

http://www.call-to-monotheism.com/why_did_prophet_muhammad__peace_be_upon_him__have_more_than_four_wives__1


No comments: