Monday, March 31, 2014

Tinggi Adam 'alaihissalam 60 hasta?



Golongan anti-hadith mempertikaikan riwayat hadith yang menjelaskan ketinggian Adam a.s. Sebahagian mereka menghina dan mentertawakan hadith ini. Bayangkan ketinggian Adam a.s lebih kurang 60 hasta bersamaan lebih kurang 27 meter, lima kali lebih tinggi dari zirafah?? Bagaimana pula status dengan haiwan ternakan ketika itu? Apakah wujud gergasi kambing-kambing dan lembu-lembu ketika itu?

Banyak lagi kritikan-kritikan pedas mereka kepada hadith ini. InsyaAllah, dalam artikel yang ringkas ini akan dijelaskan konteks hadith ini


Ketinggian Adam a.s menurut hadith sahih

Disebutkan dalam hadith-hadith sahih, ketinggian Adam a.s adalah 60 hasta bersamaan dengan 27 meter

عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم، قال: " خلق الله آدم وطوله ستون ذراعا، ثم قال: اذهب فسلم على أولئك من الملائكة، فاستمع ما يحيونك، تحيتك وتحية ذريتك، فقال السلام عليكم، فقالوا: السلام عليك ورحمة الله ، فزادوه: ورحمة الله، فكل من يدخل الجنة على صورة آدم، فلم يزل الخلق ينقص حتى الآن "

Terjemahan: Dari Abu Hurairah radiyaAllahu ‘anhu, dari nabi sallahu ‘alaihi wassalam, katanya, “Allah menciptakan Adam dengan tingginya 60 hasta. Kemudian (Allah s.w.t) berkata, ‘Pergilah dan ucaplah salam kepada kumpulan malaikat, dengarkanlah bagaimana mereka senjawab salam kepada engkau, itulah ucapan salam bagi engkau dan zuriatmu lalu ‘alaihisalam (Adam) berkata, ‘Assalamualaikum’. Mereka menjawab,’Assalamualaika wa rahmatullah’. Mereka menambahkan ‘warahmatullah’. Setiap yang akan memasuki syurga adalah dalam rupa Adam, manusia sentiasa berkurangan sejak penciptaanya sehingga sekarang’[1]

Konteks hadith ini sebenarnya merujuk kepada penciptaan Adam a.s di syurga dimana Adam a.s memberikan salam kepada para malaikat (teks berwarna merah) dan juga konteks selepas yang merujuk kepada keadaan mereka yang memasuki syurga (teks berwarna biru)

Hadith ini juga terdapat Sahih Muslim pada judul

كتاب الْجَنَّةِ وَصِفَةِ نَعِيمِهَا وَأَهْلِهَا

Terjemahan: Kitab syurga, sifatnya, kenikmatannya dan isinya

Zahir hadith ini hanya menceritakan keadaan ketika awal penciptaannya sedangkan ia tidak menjelaskan keberadaanya di bumi setelah diturunkan Allah s.w.t. Ini  juga difahami dengan melihat banyak hadith-hadith lain semisal dengannya.

Adapun ketinggian 60 hasta di syurga bukanlah sesuatu yang mustahil lebih-lebih lagi alam syurga termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak mampu digapai akal manusia.

Bantahan anti-Islam

Anti-Islam membantah penghujahan diatas dengan beberapa alasan.

Alasan pertama: Riwayat Adam a.s 60 hasta dibumi

Anti-Islam berhujah terdapat riwayat yang panjang menjelaskan sifat fizikal Adam a.s dibumi dengan ukuran 60 hasta.

عن قتادة قال: وضع الله البيت مع آدم، حين أهبط الله آدم إلى الأرض، وكان مهبطه بأرض الهند، وكان رأسه في السماء، ورجلاه في الأرض، فكانت الملائكة تهابه، فنقص إلى ستين ذراعا

Terjemahan: Dari Qatadah katanya, ‘ Allah meletakkan baitullah bersama Adam, ketika Allah menurunkannya ke bumi, tempat turunnya adalah di bumi India, kepalanya menjejak langit dan kedua kakinya di bumi, malaikat takut padanya hingga dikurangkan kepada 60 hasta…[2]

Bidasan alasan pertama

Riwayat ini dapat dikritik dari dua aspek iaitu pada sanadnya dan matannya. Dari sudut sanad, ia sekadar terhenti kepada Qatadah dan dalam riwayat yang lain dari ‘Ibnu Abbas . Tidak ada jalur atsar ini yang bersambung kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam.

Dari sudut teks, seolah-olah Adam a.s sebelumnya adalah lebih tinggi dari 60 hasta ketika diturunkan Allah s.w.t. Ini bercanggah dengan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari

Ibnu Kathir menjelaskan

وفي هذا نظر لما تقدم من الحديث المتفق على صحته عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: " إن الله خلق آدم وطوله ستون ذراعا فلم يزل الخلق ينقص حتى الآن " * وهذا يقتضي أنه خلق كذلك لا أطول من ستين ذراعا...

Terjemahan: (Riwayat) ini perlukan penelitian, telahpun disebutkan sebelumnya hadith yang disepakati kesahihahnnya dari Abu Huraira bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam berkata, ‘ Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dengan ketinggiannya 60 hasta dan sentiasa berkurangan sejak penciptaanya sehingga sekarang’. Ini menunjukkan bahawa demikianlah penciptaan (Adam) dan tidak lebih tinggi dari 60 hasta…[3]

Terdapat riwayat lain dari Ata’ bin Abu Rabah (Tafsir at-Tabari 3/59) tidak dinyatakan pengurangan kepada 60 hasta walaupun disebutkan kepalanya menjejak langit. Sekali lagi ia bukan dari Rasulullah sallahu ‘alaihi wassalam

Ibnu Hajar al-Asqalani menerima kesahihan riwayat ini dan menganggapnya berlaku pada permulaan ciptaan Adam a.s

فَظَاهِرُهُ أَنَّهُ كَانَ مُفْرِطَ الطُّولِ فِي ابْتِدَاءِ خَلْقِهِ وَظَاهِرُ الْحَدِيثِ الصَّحِيحِ أَنَّهُ خُلِقَ فِي ابْتِدَاءِ الْأَمْرِ عَلَى طُولِ سِتِّينَ ذِرَاعا وَهُوَ الْمُعْتَمد

Terjemahan: Secara zahirnya, sesungguhnya ketinggian yang berlebihan itu pada awal penciptaanya maka zahir hadith ini sahih bahawa diciptakan pada awalnya dalam 60 hasta dan ini adalah muktamad[4]

Ketinggian Adam a.s ini juga adalah ketinggian Adam a.s di bumi seperti mana yang disebutkan an-Nawawi

المراد أنه خُلِقَ فِي أَوَّلِ نَشْأَتِهِ عَلَى صُورَتِهِ الَّتِي كَانَ عَلَيْهَا فِي الْأَرْضِ وَتُوُفِّيَ عَلَيْهَا وَهِيَ طُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا وَلَمْ يَنْتَقِلْ أَطْوَارًا كَذُرِّيَّتِهِ وَكَانَتْ صُورَتُهُ فِي الْجَنَّةِ هِيَ صُورَتُهُ فِي الْأَرْضِ لَمْ تَتَغَيَّرْ

Terjemahan; Yang dimaksudkan bahawa diciptakan (Adam a.s) pada awal penciptaan di bumi dan wafat padanya adalah ketinggiannya 60 hasta, tidak berubah berperingkat-peringkat sebagaimana zuriatnya, adapun rupa Adam di syurga maka itu jugalah rupanya di bumi tidak berubah[5]

Pandangan ini masih boleh dikritisi kerana boleh saja pada awal penurunan Adam a.s memang 60 hasta dan kemudian berlaku pengecilan pada saiz pada dirinya setelah berada di bumi sesuai dengan persekitarannya. Kewujudan kubur Adam a.s yang sangat panjang bukan hujah konkrit apatah lagi berlaku khilaf akan tempatnya dan keberadannya.

Alasan kedua: Pandangan Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Kemusykilan kedua yang dihujahkan anti-Islam adalah keturunan Adam terus berkurangan hingga sekarang. Apa bukti manusia telah berkurangan saiz dari 60 hasta??? Kenapa tidak ada bukti sejarah? Kenapa bukti fosil tidak menunjukkan demikian?

Kemusykilan ini diakui sendiri Ibnu Hajar al-Asqalani apabila membandingkannya dengan peninggalan kaum thamud.

وَيَشْكُلُ عَلَى هَذَا مَا يُوجَدُ الْآنَ مِنْ آثَارِ الْأُمَمِ السَّالِفَةِ كَدِيَارِ ثَمُودَ فَإِنَّ مَسَاكِنَهُمْ تَدُلُّ عَلَى أَنَّ قَامَاتِهِمْ لَمْ تَكُنْ مُفْرِطَةَ الطُّولِ عَلَى حَسَبِ مَا يَقْتَضِيهِ التَّرْتِيبُ السَّابِقُ وَلَا شَكَّ أَنَّ عَهْدَهُمْ قَدِيمٌ وَأَنَّ الزَّمَانَ الَّذِي بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ آدَمَ دُونَ الزَّمَانِ الَّذِي بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ أَوَّلِ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَلَمْ يَظْهَرْ لِي إِلَى الْآنَ مَا يُزِيلُ هَذَا الْإِشْكَالِ الْحَدِيثُ

Terjemahan: Juga dipermasalahkan disini akan apa didapati dari riwayat-riwayat imam salaf seperti rumah-rumah kaum Thamud, sesungguhnya tempat-tempat tinggal mereka tidak terlalu tinggi seperti yang disebutkan sebelumnya, tidak syak bahawa zaman mereka adalah zaman awal dan sesungguhnya jarak zaman diantara mereka dan Adam lebih kurang dari jarak antara zaman mereka dengan permulaan zaman umat ini. Masih belum jelas kepadaku sehingga sekarang sesuatu penjelasan yang menghilangkan perkara yang tidak jelas dalam memahami hadith ini.[6]

Bidasan kepada alasan kedua

Pandangan Ibnu Hajar al-‘Asqalani dihormati. Apa yang menjadi kekeliruan pada beliau bukanlah mesti menjadi kekeliruan pada ulama lain. Ulama lain telah menjelaskan aspek lain dari hadith ini

Antaranya ialah Mufti Taqi Uthmani yang menaqalkan dari Maulana Shah al-Kashmiri

ليس معناه أن قامات الناس لم تزل تنقص في كل قرن، بل المراد أن الجسم الإنسان لم يزل ناقصاً بعده. ويؤخذ هذا مما قدمناه عن شيخ مشايخنا الكشميري رحمه الله أن ستين ذراعاً إنما كانت مقدار قامة آدم عليه السلام في الجنّة، فلما نزل عنها عاد إلى القصر، ولم يزل أبناؤه يولدون بقرب من هذه القامة إلى يومنا الآن، وإنما يرجعون إلى أصل قامتهم حينما يعودون إلى الجنّة. فقوله عليه السلام: "لم يزل ينقص": معناه: أنه لم يزل يولد ناقصاً، والله سبحانه وتعالى أعلم

Terjemahan: Ia bukanlah bermakna ketinggian manusia terus menerus berkurangan pada setiap zaman bahkan yang dimaksudkan tubuh manusia senantiasa berada dalam keadaan berkurangan itu selepas dari Adam. Ini diambil dari guru kepada guru-guru kami iaitu al-Kashmiri rahimahullah bahawa 60 hasta merujuk kepada kadar ketinggian Adam a.s di syurga, setelah turun dari syurga, ia berkurangan dan keturunannya dilahirkan dalam anggaran  ketinggian itu (ketinggian yang berkurang itu) sehingga hari ini. Sesungguhnya mereka akan dikembalikan kepada ketinggian asal bilamana kembali ke syurga. Kata baginda, ‘Berterusan berkurangan” maknanya ‘Sesungguhnya mereka berterusan dilahirkan dalam kekurangan (dari ketinggian Adam).  WaAllahu subhanahu wata’ala ‘Alam[7]

Difahami dari teks ini, manusia setelah Adam a.s tidak akan mencapai tinggi Adam a.s di syurga. Anak adam hanya akan mencapainya bila di syurga

Sifat berterusan itu merujuk kepada keupayaan anak-anak adam keseluruhannya bukannya merujuk kepada penurunan berkadar pada setiap zaman


Alasan ketiga : Distorsi pada teks dan konteks

Alasan tidak ilmiah yang dikemukakan ialah menuduh berlaku distorsi pada penghujahan di atas. Kononnya hujah tinggi Adam a.s merujuk di syurga tidak diterima kerana tidak disebutkan dengan jelas dalam teks dan bertentangan dengan pandangan an-Nawawi

Manakala maksud hadith jelas menunjukkan ketinggian anak Adam berkurangan sejak zaman Adam a.s hingga sekarang. Tidak perlu menjustifikasikan teks yang jelas hanya kerana kritikan anti-Islam ataupun kerana ingin menyelamatkan hadith tersebut


Bidasan alasan ketiga

Alasan ini dibuat kerana tidak mahu menilai konteks dan melihat riwayat-riwayat dari sudut literal dengan tanpa cuba menggabungkannya dan memahaminya secara kontekstual

Tidak menjadi masalah bagi sesiapa ingin beriman dengan hadith tersebut secara literal. Namun mempertikaikan tindakan memahami secara konteks perlu dibantah secara ilmiah dan bukannya secara prasangka

Masing-masing ulama mempunyai pandangan yang boleh diterima dan ditolak yang dinilai dengan kaedah ilmiah. Penolakan pandangan sebahagian ulama bukan bermaksud merendahkan pandangan ulama tersebut.

Kesimpulan

Bilamana diterima ketinggian 60 hasta merujuk ketinggian Adam a.s di syurga dan bukannya dibumi. Maka terjawablah persoalan akan bukti saiz Adam yang dikatakan bercanggah dengan fakta penemuan awal fosil manusia.  Tidak timbul lagi apa saiz binatang ternakan ketika itu ataupun persoalan apakah dinosour itu binatang peliharaan Adam a.s

Pengurangan saiz anak-anak adam bukanlah dalam konteks pada setiap zaman tapi merujuk kepada pengurangan umum dimana kita tidak akan mencapai ketinggian itu hingg

Ulama boleh berbeza pandangan dalam melihat kepada teks dan kita boleh memilih pandangan yang sesuai dengan teks-teks yang sahih

Penghargaan kepada syaikhuna Salman Ali atas semakan pada artikel ini

Rujukan

[1] Sahih al-Bukhari, Kitab Ahaadithul Anbiya’, Bab Penciptaan Adam dan keturunannya, no 3326
[2] Tafsir at-Tabari,3/59
[3] al-Bidayah wa an-Nihayah, 1/102
[4] Fathul Bari, 6/367
[5] Syarah Sahih Muslim,17/178
[6] Fathul Bari, 6/367
[7] Dinukil dengan perantaraan http://www.letmeturnthetables.com/2013/10/height-adam-60-cubits.html

No comments: