Sunday, June 30, 2013

*As-Saduq menshahihkan kitab Man La Yahdhuru al-Faqih




Kita sedia maklum syiah kononnya menolak ulama-ulama awal mereka mengumpulkan riwayat sahih dalam mereka. Sebabnya itu memberi peluang kepada mereka untuk menilai semula periwayatan dan menjawab kritikan kepada kitab tersebut oleh ahlu sunnah.

Sebelumnya telah dibuktikan al-Kulaini mensahihkan keseluruhan riwayat dalam kitabnya iaitu Usul al-Kafi. Kini dibuktikan pula Abū Ja`far ibn Babawayh al-Qummi (wafat 381H), mashyur dikenali sebagai as-Syeikh al-Saduq, menyakini hal yang sama ketika mengarang kitab  Man la Yahđuruh al-Faqih.

Jadi syiah tidak patut mendakwa ulama-ulama mereka tidak pernah menshahihkan riwayat-riwayat dalam kitab mereka


Muqadimah kitab Man La Yahdhuru al-Faqih 

As-Saduq menyebutkan jelas di dalam muqaddimah Man la Yahđuruh al-Faqih bahawa pengumpulan riwayat-riwayat tersebut atas permintaan ulama Syi’ah pada zamannya, Sharaf ad-Din Ni’ma. Ulama tersebut menginginkan dia menulis karya yang padat yang menjelaskan fiqh, undang-undang Islam, perkara halal dan haram.

Ibn Babawayh menulis:

وصنفت له هذا الكتاب بحذف الأسانيد لئلا تكثر طرقه وإن كثرت فوائده ولم أقصد فيه قصد المصنفين في إيراد جميع ما رووه بل قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه أنه حجة فيما بيني وبين ربي تقدس ذكره وتعالت قدرته

Terjemahan: Aku mengumpulkan kitab ini untuknya (Sharaf al-Dīn Ni`ma) dengan membuang sanad-sanadnya supaya tidak menjadi banyak jalan periwayatannya walaupun manfaatnya banyak. Aku tidak bermaksud padanya sebagaimana maksud pengarang-pengarang dalam mengemukakan semua yang mereka riwayatkannya tapi aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa.

Rujukan: Ibn Bābawayh al-Qummī Man lā Yaĥđuruh al-Faqīh jil. 1 hal. 2-3 [Qum]

Apa yang dikemukakan oleh beliau itu begitu jelas menunjukkan bahawa beliau menyakini semua periwayatannya dalam kitabnya sebagai benar dan sahih sehinggakan ia menjadi hujah antara beliau dan Tuhan.

Pengakuan ulama-ulama syiah

Dr Abd al-Hadi al-Fadli, ulama kontemporari Syi’ah membuat komentar selepas memetik kata-kata Ibn Babawayh dengan katanya:

ونصه هذا واضح وصريح في أنه يعتقد بصحة ما في كتابه ويراه حجة بينه وبين الله تعالى

Terjemahan: Kenyataan beliau ini adalah nyata dan jelas menunjukkan bahawa beliau mempercayai tentang kesahihan isi kandungan kitabnya dan beliau berfikir ia akan menjadi hujah antaranya dan Allah ta’ala.

Rujukan: ‘Abd al-Hadi al-Fadli Usul al-Hadith hal. 217 [Beirut]

At-Tibrizi juga menyatakan perkara yang sama tentang Ibnu Babawayh al-Qummi dan bukunya itu dan ia menjadi sokongan kepada apa yang telah dikemukakan:

وقد صرح لصحة أحاديثه بقوله في مقدمته قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه أنه حجة فيما بيني وبين ربي

Terjemahan: Beliau (al-Qummi) telah menjelaskan kesahihan riwayat-riwayatnya berdasarkan kata-katanya di dalam muqadimmah kitabnya (yang berbunyi): “aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa”.

Rujukan:  Abū Ţālib al-Tabrīzī Mu`jam al-Mahasin wa al-Masami’ hal. 17 [Qum]

Begitu juga dengan Ayatollah Ali as-Sistani kerana beliau menyebutkan perkara yang sama bila beliau berkata:

إنه قدس سره قد شهد في مقدمة كتابه بصحة جميع ما رواه فيه حيث قال ولم أقصد فيه قصد المصنفين في إيراد جميع ما رووه بل قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه إنه حجة فيما بيني وبين ربي تقدس ذكره وتعالت قدرته

Terjemahan: Sesungguhnya beliau (Ibnu Babawayh al-Qummi semoga Allah menyucikan ruhnya), telah bersaksi dalam muqaddimah kitabnya tentang kesahihan keseluruhan riwayatnya apabila beliau mengatakan: “Aku tidak bermaksud padanya sebagaimana maksud pengarang-pengarang dalam mengemukakan semua yang mereka riwayatkannya tapi aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa”.

Rujukan:   `Alī al-Sīstānī Qā`ida la Đarar wa lā Đirār hal. 87 [Qum]

Ibn Babawayh membuang sanad-sanad dari Man la Yahduru al-Faqih kerana tidak mahu memanjangkan kitabnya. Namun begitu beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak memasukkan riwayat-riwayat yang tidak sahih di sisinya sesuai dengan pendekatan ulama sezamannya.

Oleh kerana Ibn Babawayh merupakan ulama mutaqqidimin Syi’ah Imamiyyah dan tiada istilah ulama mutaakhirin pada zamannya, maka dia menilai kesemua riwayat-riwayatnya sebagai sahih.

Ulama terkenal Syi’ah, Baha’ al-Din al-‘Amili (1034H) menyatakan dalam kitabnya ‘Mashriq al-Shamsayn

وقد جرى رئيس المحدثين ثقة الإسلام محمد بن بابويه قدس الله روحه على متعارف المتقدمة في إطلاق الصحيح على ما يركن إليه ويعتمد عليه فحكم بصحة جميع ما أورده من الأحاديث في كتاب من لا يحضره الفقيه

Terjemahan: Ketua muhaddith, Tsiqah al-Islam Muhammad bin Babawayh moga Allah menyucikan ruhnya, telah mengambil pendekatan ulama awal yang berpegang dan bergantung kepada istilah sahih yang umum, maka dia menghukum sahih ke atas keseluruhan hadith-hadith yang dikemukakannya di dalam kitabnya Man la Yahduru al-Faqih.

Rujukan: Bahā’ al-Dīn al-`Āmilī Mashriq al-Shamsayn wa Iksīr al-Sa`adatayn, hal. 269-270 [Qum]

Perkara yang sama juga disebutkan oleh ulama Syi’ah yang terkenal, Muhammad Muhsin al-Fayd al-Kashani (1091H) dalam kitabnya al-Wafi:

وقد جرى صاحبا كتابي الكافي والفقيه على متعارف المتقدمين في اطلاق الصحيح على ما يركن اليه ويعتمد عليه فحكما بصحة جميع ما أورداه في كتابيهما من الأحاديث وإن لم يكن كثير منه صحيحا على مصطلح المتأخرين

Terjemahan: Sesungguhnya pengarang kitab al-Kafi dan al-Faqih mengambil pendekatan ulama mutaqaddimin di dalam menghukum sahih (sesuatu hadith) secara mutlak mengikut kecondongan hatinya dan keyakinan kepadanya lalu kedua-duanya menghukum sahih keseluruhan hadith yang mereka berdua kemukakan di dalam kitab mereka berdua walaupun mungkin banyak dari riwayat-riwayat tersebut tidak sahih menurut istilah ulama akhir (mutakhirun).

Petikan-petikan di atas telah cukup membuktikan dan Ibn Babawayh mengesahkan kesahihan keseluruhan kitab-kitab mereka dan kaedah mereka selari dengan ulama awal Syi’ah.


Rujukan


*Artikel penulis ini telahpun disiarkan di laman web berikut dengan sedikit perubahan



No comments: