Monday, November 12, 2012

Al-Quran mempunyai 1,027,000 huruf?




Sebahagian anti-Islam seperti golongan kristian dan syiah menggunakan riwayat berikut untuk menghentam keaslian al-Quran

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدِ بْنِ آدَمَ بْنِ أَبِي إِيَاسٍ الْعَسْقَلَانِيُّ، حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ جَدِّي آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ، ثَنَا حَفْصُ بْنُ مَيْسَرَةَ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْقُرْآنُ أَلْفُ أَلْفِ حَرْفٍ، وَسَبْعَةٌ وَعِشْرُونَ أَلْفِ حَرْفٍ، فَمَنْ قَرَأَهُ صَابِرًا مُحْتَسِبًا كَانَ لَهُ بِكُلِّ حَرْفٍ زَوْجَةٌ مِنَ الْحُورِ الْعَيْنِ

Terjemahan: Muhammad bin ‘Ubaid bin Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani telah meriwayatkan kepada kami, katanya, ayahku meriwayatkan kepadaku, dari datukku, Adam bin Abi Iyas, katanya, Hafs bin Maisarah telah meriwayatkan kepada kami, katanya dari Zaid bin Aslam dari ayahnya, dari Umar bin al-Khattab, katanya, ‘Al Qur’an itu adalah terdiri dari sejuta dua puluh tujuh ribu huruf, barang siapa membacanya dengan niat mengharap pahala maka baginya untuk setiap huruf seorang isteri dari bidadari.”
Apakah status riwayat ini? InsyaAllah akan dijelaskan secara ringkas dalam artikel ini

Takhrij dan kritikan riwayat

Hadith ini keluarkan oleh at-Tabrani dalam Mu’jam al-Ausath (6/361), juga disebutkan oleh al-Haitami dalam Majma’ az-Zawaid (7/163), as-Suyuti dalam ad-Durr al-Manthur(8/699), Jami’ al-Saghir no 8563. , Muttaqa al-Hindi dalam Kanzul ‘Ummal (hadith no 2308,2426) kesemuanya berpangkal kepada Umar al-Khattab r.a

Riwayat ini berstatus lemah bahkan palsu menurut sebahagian ulama. At-Tabrani sendiri mengisyaratkan kelemahan sanad riwayat ini dengan menyebut

لَا يُرْوَى هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ، تَفَرَّدَ بِهِ حَفْصُ بْنُ مَيْسَرَةَ "

Terjemahan: Tidak diriwayatkan hadith ini dari ‘Umar ra. melainkan dengan sanad ini, Hafs bin Maisarah tafarrud.

Az-Zahabi dalam kitabnya Mizan al-‘Itidal menyebutkan Muhammad bin ‘Ubaid bin Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani tafarud (meriwayatkannya bersendirian) dengan riwayat yang batil. Rujuk biografi Muhammad bin ‘Ubaid bin Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani (perawi no 7918).

Ibnu Hajar al-Asqalani juga menuruti perkataan gurunya dalam kitabnya, Lisan al-Mizan  (perawi no 949)
Al-Haithami juga setelah menukilkan kritikan az-Zahabi mengisyaratkan kelemahan Muhammad bin ‘Ubaid bin Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani dengan katanya,

وَلَمْ أَجِدْ لِغَيْرِهِ فِي ذَلِكَ كَلَامًا، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ.
Terjemahan: … dan tidak aku dapati selainnya (Muhammad bin ‘Ubaid bin Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani) kritikan, dan perawi selebihnya dipercayai (Majma’ az-Zawaid, 7/163)

As-Suyuti sendiri mengetahui kritikan yang diberikan oleh az-Zahabi, dalam kitabnya, al-Itqan fi Ulum al-Quran (1/242), dia menyebutkan

رجاله ثقات إلا شيخ الطبراني محمد بن عبيد بن آدم أبي إياس تكلم فيه الذهبي لهذا الحديث وقد حمل ذلك على ما نسخ رسمه من القرآن أيضا إذ الموجود الآن لا يبلغ هذا العدد

Terjemahan: Perawi-perawinya terpecaya kecuali guru kepada at-Tabrani, Muhammad bin ‘Ubaid bin ‘Adam bin Abi Iyas, az-Zahabi mengkritiknya kerana hadith ini. Boleh jadi ia dengan maksud ayat-ayat yang tulisannya telah dimansukhkan dari al-quran kerana yang ada sekarang ini tidak mencapai bilangan tersebut. 

Muttaqa al-Hindi dalam kitabnya, Kanzul ‘Ummal (no 2426) juga menukilkan kritikan riwayat ini dari Abu Nasr 
قال أبو نصر غريب الاسناد والمتن وفيه زيادة على ما بين اللوحين ويمكن حمله على ما نسخ منه تلاوة مع المثبت بين اللوحين اليوم

Terjemahan: Berkata Abu Nasr, Isnadnya dan teksnya gharib (pelik/ganjil) dan padanya terdapat tambahan yang melebihi apa yang terdapat di antara dua lauh (al-Quran). Boleh jadi maksudnya ialah sesuatu yang dibatalkan bacaan daripadanya di samping apa yang tetap wujud di antara dua lauh sekarang.

Ayah kepada Muhammad bin Ubaid bin Adam bin Abi Iyas Asqalani merupakan generasi keturunan keempat yang wafat pada tahun 258H.  Jadi dia bukannya tabi tabi’in. Maka anaknya, perawi yang dikritik dalam sanad di atas, merupakan generasi kelima. Menurut az-Zahabi dalam al-Muqizah, riwayat perawi generasi keempat dianggap lemah jika periwayatannya secara tafarrud. Jadi lebih-lebih lagi dengan periwayatan generasi kelima1

Kesimpulannya, riwayat ini tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujjah sebagai berlakunya tahrif al-Quran seperti yang didakwa oleh kristian dan juga puak-puak syiah

Penghargaan kepada uts Nasim atas semakan beliau kepada artikel ini

Rujukan dan bacaan lanjut

  1. No. of letters in the Qur'an. Have some been lost? Waqar Akbar Cheema. Dipetik dari http://www.letmeturnthetables.com/2011/01/quran-1027000-letters-ittiqan.html

No comments: