Monday, July 30, 2012

Menjawab percanggahan al-Quran : an-Nisa 4:29 vs al-Baqarah 2:54




Al-Quran kitab yang terpelihara, bebas dari sebarang percanggahan dan kontradiksi. InsyaAllah, dalam artikel yang singkat ini, kita akan bawakan jawapan kononnya al-Quran bercanggah dalam penetapan hukum bunuh diri

Hujah anti-Islam: 4:29 bercanggah dengan 2:54

Anti-Islam berhujah bahawa Islam melarang perbuatan membunuh diri seperti yang disebutkan dalam an-Nisa ayat 29. Namun dalam surah al-Baqarah ayat 54, perbuatan itu dibolehkan bahkan diperintahkan oleh Allah s.w.t

Mereka berkata: 




Bukankah ini kontradiksi yang jelas??? Mengapa Allah menyuruh kamu Musa a.s untuk membunuh diri tapi melarang umat Muhammad s.a.w?? 
....................................................................................................................................................................

Terdapat beberapa jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan. InsyaAllah, kita akan membawanya satu persatu

Jawapan 1:  Ayat al-Baqarah 2:54 tidak bermaksud bunuh diri sendiri

Perintah bunuh dalam ayat ini bukanlah bermaksud bunuh diri. Sebaliknya ia adalah perintah kepada mereka yang tidak menyembah berhala untuk membunuh mereka yang melakukan dosa tersebut. Pembunuh dan yang dibunuh berasal dari kaum yang sama seolah-olah mengambarkan ia sebagai bunuh diri. Ibnu Kathir menaqalkan dari Ibnu Jarir dengan sanadnya yang berpangkal kepada Ibnu ‘Abbas berkenaan tafsiran ini.

قال: أمر موسى قومه -من أمر ربه عز وجل -أن يقتلوا أنفسهم قال: واحتبى الذين عبدوا  العجل فجلسوا، وقام الذين لم يعكفوا على العجل، فأخذوا الخناجر بأيديهم، وأصابتهم ظلة  شديدة، فجعل يقتل بعضهم بعضا، فانجلت الظلة  عنهم، وقد أجلوا عن سبعين ألف قتيل، كل من قتل منهم كانت له توبة، وكل من بقي كانت له توبة.

Terjemahan:  Musa a.s memerintahkan kamunya – dari perintah Tuhannya azza wajjal (Allah s.w.t) supaya membunuh diri-diri mereka. Dia menyuruh mereka yang menyembah patung anak lembu untuk duduk dan yang tidak menyembahnya untuk berdiri sambil memegang pisau dengan tangan mereka. Telah menimpa mereka kegelapan yang dashyat dan mereka telah membunuh sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Selepas hilangnya kegelapan, didapati telah terbunuh 70 ribu dari mereka. Setiap orang yang terbunuh bagi mereka keampunan dan mereka yang baki juga mendapat keampunan
Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir, 1/262, Maktabah Shamila

Jawapan 2: Perintah umum dan perintah khusus

Jikapun ayat ini merujuk kepada perbuatan bunuh diri, ia merujuk kepada konteks yang berbeza. Secara umumnya, manusia dilarang untuk membunuh diri seperti yang diperintahkan dalam ayat 4:29. Kaum Musa a.s tidak termasuk dalam larangan 4:29 kerana perintah bunuh diri adalah khas kepada perbuatan dosa yang mereka lakukan.

Maka sepatutnya difahami larangan membunuh diri dengan tanpa alasan yang haq adalah umum kepada semua kecuali kepada kaum Musa a.s

Jawapan 3: Perbezaan Syariat Musa a.s dan Syariat Muhammad s.a.w

Syariat para nabi tidaklah sama dan Allah berhak menentukannya sesuai dengan kemampuan dan kondisi umat tersebut

Al-Quran menyebutkan dalam al-Maidah 5:48
 
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

Terjemahan:… Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.

Syariat pada zaman Nabi Musa a.s mewajibkan mereka yang syirik kepada Allah membunuh diri untuk bertaubat. Namun syariat Muhammad s.a.w hanya perlu mengucapkan istighfar untuk bertaubat. 

Contoh lain, umat terdahulu perlu memotong pakaian yang terkena najis berbeza dengan umat Muhammad pula hanya perlu membasuh kain mereka untuk menghilangkan najis.

Maha Suci Allah, Dialah  yang mengetahui kemampuan umat-umatnya dalam beramal dengan syariat yang diturunkanNYa

Kesimpulan

Tidak wujud sebarang kontradiksi dalam al-Quran. Perbezaan perintah Allah perlu difahami dalam konteks dan tafsiran yang betul. Perbezaan perintah bergantung pula kepada kehendak syariat yang berbeza mengikut umat.  Terbunuhnya ramai penyembah berhala anak lembu dari kalangan Bani Israil adalah sebagai pengajaran umat terkemudian agar tidak melanggar perintah Allah. Biarpun ramai yang terbunuh, Allah telah mengampunkan dosa mereka semua

2 comments:

Anonymous said...

Bagaimana pula dengan minum arak di dunia tidak halal tetapi di syurga Islam dihalalkan ?

Saiful said...

Kerana pengharaman arak di dunia adalah disebabkan kesan buruk arak terhadap akal fikiran.. di syurga, tubuh manusia bkn seperti di dunia.. arak tiada lg memberikan apa2 kesan yg memabukkan..