Tuesday, March 20, 2012

Allah mencipta Adam dalam imejNya?



Golongan anti-Islam berusaha menjatuhkan Islam dengan meletakkan syubhah pada hadith-hadith Rasulullah sallahu a’alaihi wassalam. Isu yang sering dimainkan ialah berkenaan hadith Allah mencipta Adam dalam imejnya. InsyaAllah dalam artikel ini akan dijawab penghujahan mereka

Hadith yang dimaksudkan ialah hadith berikut

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ، فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ، فَإِنَّ اللهَ خَلَقَ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ»

Terjemahan: Daripada Nabi Sallahu a’alaihi wassalam, katanya, “Apabila seseorang kamu bergaduh dengan saudaranya, hendaklah dia menjauhi dari memukul muka kerana sesungguhnya Allah mencipta Adam atas imejnya.

Rujukan: Sahih Muslim, Kitab al-Birr…, Bab Larang daripada memukul muka, hadith no no: 2612



Penghujahan anti-Islam

Golongan anti-Islam meletakkan dua tuduhan utama terhadap hadith ini.

a) Hadith ini menyuburkan fahaman tajsim yakni menyerupakan/menjisimkan Allah dengan makhluk
b) Golongan syiah mengatakan hadith ini adalah rekaan Abu Huraira r.a

Menjawab  tuduhan tajsim

Hadis yang di atas tidak bererti wajah manusia dicipta berdasarkan imej Allah. Perkataan “nya” dalam sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam merujuk kepada objek yang terdekat dalam susunan lafaz di atas iaitu kepada manusia yang dipukul. Ini bermaksud kita dilarang memukul muka seseorang kerana muka tersebut adalah diciptakan dari imej Adam a.s. Ia salah satu bentuk kemuliaan Allah kepada ciptaanNya

Penjelasan imam an-Nawawi dijadikan sandaran

وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي تَأْوِيلِهِ فَقَالَتْ طَائِفَةٌ الضَّمِيرُ فِي صُورَتِهِ عَائِدٌ عَلَى الْأَخِ الْمَضْرُوبِ وَهَذَا ظَاهِرُ رِوَايَةِ مُسْلِمٍ وَقَالَتْ طَائِفَةٌ يَعُودُ إِلَى آدَمَ وَفِيهِ ضَعْفٌ وَقَالَتْ طَائِفَةٌ يَعُودُ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى وَيَكُونُ الْمُرَادُ إِضَافَةَ تَشْرِيفٍ وَاخْتِصَاصٍ كَقَوْلِهِ تَعَالَى نَاقَةَ الله وَكَمَا يُقَالُ فِي الْكَعْبَةِ بَيْتُ اللَّهِ وَنَظَائِرُهُ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

Terjemahan: Para ulama’ berbeza pandangan akan takwilnya (hadith ini), berkata sebahagiannya, dhamir dalam perkataan صُورَتِهِ kembali kepada yang dipukul dan ini adalah pandangan yang zahir dari riwayat Muslim. . Berkata sebahagian ia kembali kepada Allah dan jumlah idhofat (sandaran) di sini dengan makna kemuliaan sebagaimana disandarkan unta kepada Allah bukan bermakna Allah memelihara unta tetapi dengan makna kemuliaan kepada unta tersebut

Rujukan: Syarah Sahih Muslim, Bab Larangan Memukul Muka, 16/165-166

Anak adam adalah imej ar-Rahman?

Ada sebahagian lafaz menyebutkan imej yang dimaksudkan ialah imej Allah sendiri iaitu imej ar-Rahman 

لا تقبحوا الوجه؛ فإن ابن آدم خلق على صورة الرحمن عز وجل

Terjemahan: Janganlah mencederakan wajah kerana sesungguhnya (wajah) anak Adam adalah atas imej al-Rahman.

Hadith ini tidak sahih. Jalan periwayatan utama hadith ini datang dari al-‘Amash, daripada Habib bin Abi Thabit, daripada ‘Atha’, daripada Ibn ‘Umar. Habib bin Abi Thabit al-Kufi adalah perawi yang tadlis seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Tabaqat al-Mudallisin, perawi no:069. 

 Jalan periwayatan yang lain datang dari Ibn Lahi‘ah dan adalah beliau seorang yang lemah seperti yang disebutkan oleh al-Nasa’i  dalam  al-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin perawi no: 346 dan al-‘Uqaili  dalam Dhu‘afa’ al-Kabir  perawi no: 867.1

Sebahagian ulama yang lain pula mensahihkan hadith di atas dan menerima imej Allah sebagai salah satu sifatNya. Namun mereka mengatakan imej tersebut tidak sama dengan imej makhluk dan Maha Suci Allah dari persamaan dengan makhluknya.2

Riwayat semakna dalam kitab-kitab syiah

Tuduhan kedua dimainkan shia ialah riwayat ini adalah rekaan Abu Huraira r.a. Tuduhan ini tidak berasas kerana riwayat yang semakna juga disebutkan dalam kitab-kitab shia

حدثنا أحمد بن الحسن القطان قال حدثنا أبو سعيد الحسن بن علي بن الحسين السكري قال حدثنا الحكم بن أسلم قال حدثنا ابن علية عن الجريري عن أبي الورد بن ثمامة عن علي ع قال سمع النبي ص رجلا يقول لرجل قبح الله وجهك و وجه من يشبهك فقال ص مه لا تقل هذا فإن الله خلق آدم على صورته

Terjemahan: (Sanad tidak diterjemah) … Ali mengatakan: Dia mendengar Rasululah sallahu a’laihi wassalam mendengar seorang lelaki berkata kepada lelaki lainnya, ‘ Moga Allah memburukkan wajah engkau and orang yang menyerupaimu maka kata baginda, ‘ Jangan kamu katakan demikian, sesungguhnya Allah menciptakan Adam atas rupanya.

Rujukan: At-Tauhid, Syeikh Muhammad bin Ali al-Babawih al-Qummi (as-Saduq), jilid 12, ms 8 hadith ke-10

Hadith ini juga disahihkan oleh pejuang revolusi terkemuka mereka iaitu Ayatollah Khomeini dalam kitabnya  
الأربعون حديثاً

Dia menyebutkan setelah menakalkan riwayat tersebut
 
وقد أيّد الإمام الباقر سلام الله عليه صدور هذا الحديث وصدّقه وتولى بيان المقصد منه

Terjemahan: Sesungguhnya imam al-Baqir sejahtera Allah ke atasnya menguatkan sumber-sumber hadith ini dan membenarkannya serta memberikan penjelasan terhadapnya

Rujukan: Ar-Ba’una Hadithan, Ayatollah Udzma Sayyed Ruhollah Musavi Khomeini,  jilid 2 ms 208

Riwayat-riwayat yang lain boleh dirujuk di link berikut


Kesimpulan

Allah s.w.t telah menyatakan dalam al-Quran (4:112 & 42:11),bahawa Dirinya tidak sama dengan makhluk. Hadith di atas sama sekali tidak menetapkan kesamaan antara Allah dan makhluknya. Kebanyakan ulama salaf mengambil jalan beriman dengan hadith ini dengan tanpa menyamakannya dengan makhluk. Sebahagian ulama lain telah menafsirkannya sesuai dengan konteks.  

Ulama-ulama shia sendiri telah meriwayatkan hadith ini dan mensahihkannya. Dakwaan mengatakan ia rekaan Abu Huraira r.a adalah dakwaan tidak berasas. Sudah tentu shia tidak akan mengatakan sunni terkait dengan aliran mujassimah kerana riwayat-riwayat semakna juga bertebaran dalam kitab-kitab mereka. waAllahu a’alam

Rujukan

1 comment:

bunga_cinta said...

alhamdulilah..
semoga segala kekeliruan yang dibuat2 dapat diperbetulkan dengan segera.