Wednesday, June 8, 2011

AL-IMAMAH WA SIYASAH BUKAN KARYA IBNU QUTAIBAH



Syiah mempunyai pelbagai strategi kotor dalam menyemai syubhah kepada golongan sunnah. Bermula dengan pelbagai dialog rekaan hinggalah kepada pemalsuan kitab, mereka memang pakar menipu umat Islam.
Kitab al-Imamah wa Siyasah merupakan satu dari mangsa pembohongan Syiah.

Syiah sentiasa menggunakan kitab ini sebagai hujah mereka untuk menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah. 
Mereka bahkan berdusta dengan mengatakan bahawa kitab ini ditulis oleh Ibnu Qutaibah ad-Dainuri, seorang ulama terkemuka Ahli Sunnah.

Sebelum membongkar lebih lanjut, marilah kita teliti siapa Ibnu Qutaibah ad-Dainuri di pandangan ahlu ulama sunnah



Ibnu Qutaibah ad-Dainuri

Al-Hafiz Abdullah Bin Muslim Ibnu Qutaibah ad-Dainuri dilahirkan pada awal bulan Rejab tahun 213H dan  wafat pada bulan Rejab tahun 276H. Beliau merupakan ulama ahlu sunnah yang terkenal dengan pelbagai ilmu serta mengarang kitab dalam pelbagai bidang; seperti bahasa arab, sastera, tafsir, hadis dan lain-lain.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah mensifatkan beliau sebagai jurucakap kepada Ahl Sunnah.

Imam Khatib al-Bahgdadi dalam kitabnya Tarikh Baghdad menyebutkan

كان ثقة ديِّناً فاضلاً، وهو صاحب التصانيف المشهور
Terjemahan: Beliau seorang tsiqah (terpercaya) dan fadhil (mempunyai kelebihan) dalam agama  beliau merupakan pemilik kitab-kitab yang masyhur

Rujukan: al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Bahgdad, 4/388, Maktabah Shamela

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menaqalkan perkataan Maslamah bin Qasim berkenaan Ibnu Qutaibah

كان لغويا كثير التأليف عالما بالتصنيف صدوقا من أهل السنة

Terjemahan: :-Beliau seorang ahli bahasa yang banyak menulis, sangat bersistematik, dan seorang yang dipercayai daripada kalangan Ahli Sunnah

Rujukan: Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, 2/68, Maktabah Shamela

Ramai ulama ahlu sunnah memuji akan keilmuan yang terdapat padanya. Abul Barakat al-Anbari dalam kitab “Nuzhatul alibba’ ” (ms 209): ‘Beliau fadhil  dalam bahasa, nahu dan syair, serta menguasai banyak ilmu’

Ibnu Hazm berkata seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Hajar dalam kitab al-Lisan 3/358 :- Beliau seorang tsiqah dalam agama dan ilmunya.

Ibnu Jauzi dalam “al-Muntazim”: Beliau seorang alim, tsiqah, beragama lagi seorang fadhil. Beliau memiliki karangan-karangan yang masyhur.

Al-Qufti berkata dalam kitab “inbahu ruwah” (2/144): Beliau seorang tsiqah, beragama lagi seorang fadhil.

Ibn Khallikan dalam kitab “Wafayaatul a’ayan” (3/42): Beliau seorang fadhil lagi tsiqah.

Ibnu Katsir dalam kitab “al-Bidayah wan Nihayah” (11/48): Beliau merupakan pemilik karangan-karangan yang hebat dan bermanfaat yang mencakupi ilmu-ilmu yang banyak lagi berguna.

Beliau menulis pelbagai kitab yang berharga seperti Gharib al-Quran, Gharib al-Hadith, Musykil al-Quran, Musykil al-Hadith, ‘Uyun al-Akhbar, Adab al-Katib,  al-Ma’arif dan selainnya

Kitab Al-Imamah wa Siyasah

Para pentahqiq (peneliti) kitab ini telah menyenaraikan bukti-bukti menafikan kitab ini milik Ibnu Qutaibah

Para pentahqiq memutuskan bahawa kitab tersebut adalah batil untuk dinisbahkan kepada Ibnu Qutaibah atas sebab-sebab berikut

Kritikan dapat diberikan kepada tiga

a) Kritikan dari sudut penisbatan kitab
a) Kritikan dari sudut metodologi penulisan, gaya bahasa dan perawi
b) Kritikan dari sudut kandungan kitab


Kritikan dari sudut penisbatan kitab

Tidak ada seorang pun dari kalangan penulis biografi Ibnu Qutaibah menyebutkan beliau pernah mengarang sebuah kitab berkenaan sejarah yang dinamakan “al-Imamah Was Siyasah”.

Bahkan penulisan yang diketahui dalam bidang sejarah ialah kitab “al-Ma’arif” dan kitab yang disebut oleh pengarang “Kasyfu Zunun” dengan nama “Tarikh Ibni Qutaibah”, yang terdapat satu nuskhah daripadanya di al-Khazanah az-Zahiriyyah di Damsyiq

Pentahqiq terkenal, Syeikh Muhibbudin Khatib menjelaskan dalam komentar beliau ke atas kitab “a-Awasim minal Qawasim” yang dikarang oleh Abu Bakr ibn al-Arabi al-Maliki (ms 209) dengan katanya:

Tidak ada satu perkara pun dalam kitab itu betul-betul datangnya daripada Ibnu Qutaibah. Ini kerana kitab “al-Imamah was Siyasah” penuh dengan kejahilan, kebodohan, kerapuhan , pendustaan, dan pemalsuan.  Aku telah menerbitkan sebuah kitab “al-Maisir  wal Qidah” bagi Ibnu Qutaibah lebih seperempat kurun yg lalu, dan aku telah menulis biografi lengkap beliau. Aku juga telah menyenaraikan karangan-karangan beliau. 

Dan pada muka surat 26-27, aku telah menyebut sumber-sumber (kajian) para ulama’ berkenaan  kitab  “al-Imamah was Siyasah” serta bukti-bukti mereka yang menunjukkan bahawa kitab itu bukanlah milik Ibnu Qutaibah.

Para orientalis yang mengkaji kitab ini juga tidak bersetuju  penisbatan kitab ini kepada Ibnu Qutaibah. Orientalis pertama yang melakukan hal demikian ialah de Gayangos dalam bukunya “Tarikh al-Hukm al-Islami fi Asbania” (Sejarah Perundangan Islam di Sepanyol) dan kemudian diteruskan oleh Dr R.Dozy dalam bukunya “at-Tarikh as-Siyasi wal Adabi li Asbania” (Sejarah Politik dan Peradaban Sepanyol),  

Brockelmann juga menyebutkannya dalam “Tarikh al-Adab al-Arabi” (Sejarah Peradaban Arab), Baron de Salé dalam sebuah indeks manuskrip Arab yang terdapat di sebuah pustaka Paris dengan nama “ahaadith al-Imamah was Siyasah” serta Margulius dalam kitabnya “Diraasat ‘anil Muarrikhin al-Arab” (Kajian berkenaan Sejarawan Arab). 

Kritikan dari sudut metodologi penulisan, gaya bahasa dan perawi

Antara ciri-ciri yang dimaklumi yang ada pada metod Ibnu Qutaibah ialah beliau mendahulukan muqaddimah yang panjang  pada penulisannya bagi menerangkan metod dan tujuan penulisannya itu. 

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pengarang “al-Imamah was Siyasah”, muqaddimahnya terlalu pendek tidak lebih daripada 3 baris sahaja. Hal ini  disebabkan perbezaan dalam gaya bahasa,dan metod seperti ini, kita tidak mengetahuinya terdapat dalam penulisan dan karangan Ibnu Qutaibah.

Gaya bahasa dan metodologi penulisan yang digunakan oleh pengarang “al-Imamah Was Siyasah” jelas berbeza dengan metod dan gaya bahasa Ibnu Qutaibah dalam kitab-kitab beliau yang sampai kepada kita.  

Terdapat dalam kitab tersebut frasa-frasa perkataan yang tidak terdapat dalam tulisan-tulisan Ibnu Qutaibah  yang lain seperti : 

( قـال ثم إن )  ( وذكـروا عن بعض المشيخة ) ( حدثنا بعض المشيخة )

Gaya bahasa dan frasa seperti ini tidak dijumpai dalam sebuah kitab pun daripada kitab-kitab Ibnu Qutaibah

Dari sudut susunan cerita, pengarang “al-Imamah was Siyasah” tidak mengambil berat mengenai kepelbagaian dan susunan dan urutan, maka dia meriwayatkan suatu cerita, kemudian dia berpindah dari cerita itu kepada selainnya, kemudian dia kembali untuk menyempurnakan cerita  yang pertama tadi. 

Ketidakkemasan ini tidak sama dengan dengan metod Ibnu Qutaibah yang mengutamakan kepelbagaian dan susunan.

Dari sudut kritikan perawi, Ibnu Qutaibah sering menyebutkan para perawi dan syaikh-syaikh dalam kitab-kitabnya tetapi dalam kitab tersebut ia tidak langsung tidak disebut. Bahkan pengarang kitab tersebut meriwayatkan daripada Ibnu Abi Laila seolah-olah dia berjumpa dengannya. 

Ibnu Abi Laila ini ialah Muhammad Bin Abdir Rahman Bin Abi Laila, seorang faqih dan qadhi di Kufah, meninggal dunia pada tahun 148H. Sudah maklum  bahawasanya Ibnu Qutaibah dilahirkan pada tahun 213H iaitu 65 tahun selepas kematian Ibnu Abi Laila!!

Terdapat juga perawi-perawi dalam kitab itu yang tidak pernah diriwayatkan oleh Ibnu Qutaibah dalam sebuah kitab pun daripada kitab-kitab beliau seperti perawi Abu Maryam dan Ibnu `Ufayr.

Lebih utama dari itu, Ibnu Qutaibah pernah tinggal di Damsyiq dan Maghribi, padahal beliau tidak pernah keluar dari Baghdad kecualilah ke Dainur, tetapi  pengarang “al-Imamah was Siyasah” ada meriwayatkan daripada 2 orang ulama’ Mesir sedangkan Ibnu Qutaibah tidak pernah masuk Mesir dan tidak pernah mengambil riwayat daripada mereka berdua.

Kritikan dari sudut kandungan kitab

Kitab “al-Imamah was Siyasah” mengandungi sekian banyak kesalahan sejarah yang jelas. Sebagai contoh, dinyatakan dalam kitab tersebut bahawa Abu Abbas dan al-Saffah(penyembelih) ialah dua orang yang berbeza!!. Juga menyatakan Khalifah Harun ar-Rasyid langsung menjadi pengganti Imam Mahdi!! 

Kita itu juga menyatakan khalifah Harun ar-Rasyid telah mengamanahkan pemerintahan yang dijanjikannya kepada anaknya, al-Makmum dan kemudian anaknya al-Amin . Apabila kita merujuk kembali kepada kitab “al-Ma’arif” oleh Ibnu Qutaibah, kita akan mendapati maklumat-maklumat yang betul mengenai as-Safah dan Harun ar-Rasyid yang berbeza dengan apa yang disebut oleh pengarang “al-Imamah was Siyasah’’

Selain itu wujud dalam kitab tersebut peristiwa pembukaan Andalusia (Sepanyol)  yang diriwayatkan secara  musyafahah (mulut ke mulut) daripada mereka yang bersama dalam gerakan pembukaan seperti Maulah kepada Abdullah Bin Musa padahal pembukaan  Kota Andalusia pada tahun 92H iaitu 121 tahun sebelum kelahiran Ibnu Qutaibah.


Riwayat-riwayat syiah dalam al-Imamah wa Siyasah 

Lebih parah dari itu, kitab al-Imamah wa Siyasah mengandungi riwayat-riwayat berbaur syiah dan mencerca sahabah-sahabah nabi.

Riwayat-riwayat inilah yang digunapakai oleh syiah bagi menegakkan kebatilan aqidah pegangan mereka

Berikut ialah contoh-contoh riwayat menyeleweng yang sentiasa dipetik syiah

Imam berkata kepada Abu Bakar, “Aku adalah hamba Allah dan saudara RasulNya!”
Lalu berkata kepada seseorang kepada Imam Ali, “Berbaiatlah kepada Abu Bakar.”
Imam Ali: Aku lebih berhak kepada jawatan ini, dan aku tidak akan membaiat kamu, kerana kamu lebih patut membaiat aku. Kamu mengambil jawatan ini dari Ansar dengan alasan kekerabatan kamu dengan Rasulullah(sawa), sedangkan kamu mengambilnya dari kami, Ahlulbait Nabi secara rampasan. Kamu membuat dakwaan atas golongan Ansar bahawa kamu lebih layak akan jawatantersebut kerana kedudukan kamu di sisi Rasulullah, lalu mereka menyerahkan kepada kamu tampuk pemerintahan. Sekarang aku berhujah dengan kamu sebagaimana kamu berhujah dengan kaum Ansar bahawasanya kami Ahlulbait lebih layak di sisi Rasulullah samada hidup atau mati. Oleh itu, kembalikanlah kepada kami sekiranya kamu orang-orang yang benar. Jika tidak, kamu sebenarnya telah mengembalikan semula kezaliman sedang kamu menyedarinya.”
Lantas Umar berkata: “Kamu tidak akan dibiarkan begitu sahaja hinggalah kamu berbaiat.”
Imam Ali: “Perahlah susu dengan sekali perahan, dan untukmu separuh darinya. Berilah sokongan penuh mu kepada Abu Bakar, agar dia menyerahkan kepada mu(jawatan khalifah) esok.”(*Dan memang benar ia terjadi seperti mana yang diucapkan beliau, jawatan khalifah diwariskan tanpa Syura terus kepada Umar)
Imam Ali meneruskan hujahnya: “Demi Allah wahai Umar, aku tidak menerima kata-kata mu dan aku tidak mungkin akan membaiat.”
Abu Bakar: “Sekiranya dia tidak mahu membaiat, maka aku tidak mahu memaksanya.”

Rujukan: Al Imamah wa Siyasah; Ibnu Qutaibah, hal. 23

Syiah meneruskan dakwaan batil mereka bersumberkan al-Imamah was Siyasah

Setelah itu rumah Imam Ali dikepung oleh sekumpulan samseng, yang mengaku diri mereka sebagai sahabat Rasul, bahkan diancam bakar jika mereka tidak mahu keluar memberi baiat. Maka beberapa orang dari pengikut Imam merasa takut lalu menyatakan persetujuan, maka tinggallah hanya beberapa orang yang tetap setia bersama Imam. Setelah itu Imam Ali diheret keluar bertemu dengan Abu Bakar, dan di situ penyokong Abu Bakar berkata kepadanya:

Penyokong Abu Bakar(PAB): Baiatlah Abu Bakar!!

Imam Ali: Jika aku tidak mahu membaiat, apa yang akan kalian lakukan?

PAB: Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, kami akan memancung leher mu!
Imam Ali: Jadi kamu sanggup membunuh seorang hamba Allah dan saudara Rasulnya?

Umar mencelah: Kamu memang seorang hamba Allah, tetapi bukan saudara Rasulullah!

Ketika pertengkaran sedang hangat berlaku, Abu Bakar hanya diam membisu tanpa berkata sepatah pun. Melihat keadaan itu, Umar berkata pada Abu Bakar: “Tidakkah kamu mahu mengeluarkan sebarang perintah terhadap tindakan Ali ini?”

Abu Bakar menjawab: “Aku tidak mahu memaksanya selagi Fatimah ada di sisinya.” Setelah itu, Imam Ali dilepaskan lalu beliau berlari ke kubur Rasulullah(sawa) sambil berkata: “Wahai sepupuku, sesungguhnya kaum itu menghinaku dan mahu membunuhku.

Rujukan: ”Al Imamah wa Siyasah; Ibnu Qutaibah, hal. 25

Kesemua riwayat-riwayat ini tidak bernilai disisi ahlu sunnah dan hanya mereka yang mempunyai hati yang kotor akan berhujah dengan dengannya
 
Pandangan Ibnu Qutaibah terhadap syiah

Sebahagian syiah akan berdalih dengan mengatakan pihak sunni tidak mampu menelan kebenaran syiah dan sengaja menolak nukilan-nukilan tersebut

Sebenarnya hanya mereka yang  berfikiran waras dan rasional mengetahui Ibnu Qutaibah tidak menyokong doktrin celaan sahabah.

Bahkan dalam kitabnya yang disepakati untuk dinisbahkan kepadanya iaitu kitab “al-Ikhtilaf fil lafzi war Raddu ‘alal Jahmiyyah wal Musyabbihah” adalah beliau menghukum golongan Rafidhah sebagai kafir

Beliau mengatakan

وقد رأيت هؤلاء أيضاً حين رأوا غلو الرافضة في حب علي وتقديمه على ما قدمه رسول الله صلى الله عليه وسلم وصحابته عليه وادعاءهم له شركة النبي صلى الله عليه وسلم في نبوته، وعلم الغيب للأئمة من ولده وتلك الأقاويل والأمور السرية التي جمعت إلى الكذب والكفر إفراط الجهل والغباوة، ورأوا شتمهم خيار السلف وبغضهم وتبرأهم منهم

Terjemahan: Dan sesungguhnya saya telah melihat mereka itu juga ketika mereka melihat kelampauan Ar-Rafidhah dalam mencintaï `Ali dan mengutamakannya ke atas orang-orang yang diutamakannya oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya ke atasnya, dan dakwaan mereka yang dia mempunyai kesekutuan dengan Nabi dalam kenabiannya dan ilmu ghaib untuk para Imam daripada keturunannya, dan kata-kata itu dan perkara-perkara rahsia yang berkumpul sebagai pendustaan dan kekufuran, melampaui kejahilan dan kedunguan. Dan mereka melihat kutukan mereka terhadap sebaik-baik salaf, dan kebencian mereka, dan berlepas diri mereka daripada mereka

Rujukan: Ibnu Qutaibah, al-Ikhtilaf fil lafzi war Raddu ‘alal Jahmiyyah wal Musyabbihah, 1/54, Maktabah Shamela

Apakah logik seorang yang begitu keras terhadap syiah namun menukilkan riwayat yang berbaur syiah dalam kitabnya??? Sudah tentu dakwaan syiah adalah dakwaan karut

Bidasan syiah

Dalam pelbagai web syiah, mereka cuba membidas artikel di atas. Mereka mengemukakan 4 bantahan kepada artikel ini


Secara ringkasnya, bidasan mereka ialah


a) Kitab ini telah tersebar di banyak negara dan dicetak dengan nama penulisnya
b) Menuduh kritikan ilmiah ini sebagai kajian orientalis
c) Ramai ulama ahlu sunnah menisbatkan kitab ini kepada Ibnu Qutaibah
d) Kritikan Ibnu 'Arabi terhadap Ibnu Qutaibah
Bantahan kepada bidasan syiah
Hanya kerana kitab itu tersebar dengan nama pengarang, itu tidak semestinya pengarangnya betul-betul menulis kitab tersebut .Kita ambil contoh mudah, 4 gospel dalam Bible yang tersebar ke seluruh dunia.

Biarpun ia disebut sebagai Gospel of Matthew, ilmuan kristian membuktikan ia bukan di tulis oleh Matthew.

Hanya kerana sebahagian ulama ahlu sunnah menukil dari kitab tersebut, ia belum menjadi bukti kukuh. Boleh saja ulama tersebut menyangka itu karangan Ibnu Qutaibah tapi sebenarnya bukan. Bahkan hanya kerana Ibnu 'Arabi mengkritik Ibnu Qutaibah, ia belum menjadi fakta yang jelas akan penisbatan kitab tersebut

Bahkan web syiah sendiri tidak melihat kepada kritikan yang dilakukan dari sudut gaya bahasa, perawi dan metodologi kitab tersebut.

 Penolakan penisbatan kitab ini telah disebut oleh pentahqiq kitab-kitab sunnah. Selain itu, tidak salah membawakan kenyataan orientalis jika kritikan mereka adalah benar. Syiah sendiri telah menggunakan hujah orientalis ketika menolak figur Abdullaj bin Saba’ maka kenapa standard yang sama tidak boleh digunapakai oleh sunni

Biarpun mereka ingin menstabitkan kedudukan buku ini kepada Ibnu Qutaibah. Ketahuilah Ibnu Qutaibah sekali-kali tidak menyokong doktrin syiah. Ini seperti yang disebutkan dalam kenyataan di atas



Kesimpulan

Ibnu Qutaibah  berada di kedudukan yang tinggi di sisi para ulama’. Sama sekali beliau tidak menulis kitab yang penuh dengan kedustaan dan penyelewengan terhadap para sahabah nabi

Adapun nukilan dan kritikan sebahagian ulama belum menjadi hujah yang kukuh akan penisbatan kitab ini kepada Ibnu Qutaibah

Bahkan beliau sendiri membantah golongan syiah dan menjawab tuduhan mereka

Maka janganlah kita terpedaya dengan dakwaan syiah yang begitu mudah menukil dari kitab ini dan berhujah dengannya

Nukilan-nukilan menyeleweng dari  kitab ini tidak bernilai disisi ahlu sunnah wal Jamaah

Rujukan

Penghargaan kepada akhi Abdul Qayyum bagi tujuan penterjemahan dan ustaz Adou_Fr atas cadangan pembaikan




No comments: