Tuesday, August 2, 2011

Solat Tarawih Berjemaah Bukanlah Bid’ah Umar al-Khattab r.a



Sempena bulan ramadhan yang mulia, artikel kali ini akan membincangkan satu sunnah yang hangat diperdebatkan iaitu solat tarawih. Fokus artikel kali ini ialah menjawab tohmahan syiah bahawa khalifah Umar r.a telah berbuat bid’ah dengan mensunnahkan solat tarawih secara berjemaah

Tidak dapat dinafikan, ada riwayat shahih menyatakan sebahagian sahabah bersolat di rumah mereka. Namun itu bukanlah bukti menyatakan solat berjemaah tarawih di masjid adalah bid’ah

Malangnya, syiah menohmah Umar r.a dengan mengatakan

Demi Allah ketika aku perintahkan orang-orang supaya tidak melakukan solat jama’ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardhu dan memberitahukan kepada mereka bahawa solat sunat berjama’ah(Tarawih) adalah bid’ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang dipihakku mulai berteriak:”Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Tarawih pada bulan Ramadhan.” Mereka berteriak begitu rupa sampai aku khuatir mereka akan memberontak. Sayang! Betapa menderitanya aku berada”ditangan” orang-orang yang menentangku sekuat tenaga dan mentaati pemimpin-pemimpin mereka yang “keliru” yang hanya menyeru mereka ke neraka.”[al-Kulaini, al-Raudhah mina l-Kafi, VII, hadith 21, hlm. 60-63]

Imam al Baqir dan Imam as Sadiq(as) turut ditanya tentang kebolehan melakukan solat terawih, di mana mereka menjawab dengan hadis Rasulullah(sawa):

“Sesungguhnya, menunaikan nafilah dengan berjemaah pada malam hari di bulan Ramadhan adalah BIDAAH.. Wahai manusia, jangan sesekali menunaikan solat nafilah secara berjemaah di Bulan Ramadhan..Tanpa ragu, menunaikan sedikit ibadah berdasarkan sunnah adalah lebih baik dari menunaikan ibada yang banyak tetapi merupakan bidaah.”

al-Hurr al-Amili, Wasa’il al-Shia, Jilid 8, Hal. 45

Nukilan-nukilan di atas tidak perlu dibantah kerana ia memang datang dari kitab syiah yang penuh kebencian kepada Umar r.a. 

Namun syiah juga berhujahkan hadith sunni kononnya Umar r.a sendiri mengatakan tarawih berjemaah adalah bid’ah yang baik

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ

Terjemahan: Daripada Abdurrahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama dengan Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya.  ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (Ubai bin Ka‘ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).

Rujukan: Sahih al-Bukhari, Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan, hadith no 1871

PENJELASAN MAKSUD BID’AH YANG BAIK

Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin, mantan mufti Perlis dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia telah menjelaskan kenyataan ‘bid’ah yang baik’ diatas dalam bukunya Bid’ah Hasanah : Istilah yang disalah fahami

‘Berdasarkan riwayat di atas, ada yang tersalah sangka dengan menganggap ‘Umar bin al-Khattab adalah orang yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah. Maka dirumuskan bahawa ia adalah satu perbuatan bid‘ah yang dianggap baik oleh ‘Umar. Justeru boleh membuat bid‘ah di dalam ibadah asalkan ia dilakukan dengan niat yang baik.

Sebenarnya rumusan seperti ini muncul kerana kurang membaca hadith-hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, seperti dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Hadith yang dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ
  .
Terjemahan: Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar bersolat dan mereka ikut solat bersama.

Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu. Hal sebegini berlaku sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat. (Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 761 (Kitab solat musafir dan menqasarkannya, Bab anjuran bersolat pada malam Ramadhan)

Dalam sebahagian riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: “…yang demikian berlaku pada bulan Ramadhan.” (وذلك في رمضان)   [Rujuk Shahih al-Bukhari – hadith no: 2011 (Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan]

Hadith ini dengan jelas menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah dengan satu imam. Walaubagaimanapun baginda tidak melakukannya secara berterusan, bukan kerana ia perbuatan yang salah tetapi kerana bimbang ia menjadi satu kewajipan. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, kebimbangan ini tidak wujud lagi, maka dengan itu ‘Umar meneruskan semula Solat Tarawih secara berjamaah. Justeru ‘Umar al-Khattab bukanlah orang yang pertama memulakannya secara berjamaah.

al-Imam al-Syatibi rahimahullah menegaskan:

Renungi hadith ini. Ia menunjukkan kedudukan Solat Tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang ia difardukan. Ini tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan) (sehingga) ada kemungkinan akan diwahyukan kepada baginda sebagai satu kewajipan jika manusia mengamalkannya. Apabila telah hilang ‘illah al-tasyri’dengan wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ia kembali kepada asalnya. [al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147]

Timbul persoalan seterusnya, mengapakah Abu Bakr radhiallahu 'anh tidak menghimpunkan orang ramai untuk melakukan Solat Tarawih secara berjamaah? Untuk mengetahui jawapannya, kita merujuk sekali lagi kepada penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah:

‘Adapun (sebab) Abu Bakr tidak mendirikannya adalah kerana salah satu daripada berikut, sama ada (pertama) dia berpendapat solat orang ramai pada akhir (malam) lebih afdal padanya dari dihimpunkan mereka dengan satu imam pada awal malam. Ini disebut oleh al-Turtusyi (الطرطشي) ataupun (kedua) disebabkan kesempitan waktu pemerintahannya untuk melihat perkara-perkara cabang seperti ini sedangkan beliau sibuk dengan golongan murtad dan selainnya yang mana lebih utama daripada Solat Tarawih. [al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147-148]

Timbul persoalan kedua, kenapakah ‘Umar al-Khattab radhiallahu 'anh menggelar hal tersebut sebagai satu bid‘ah? Sekali lagi, penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah menjadi rujukan:

Dia menamakannya bid‘ah hanya disebabkan pada zahirnya kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah meninggalkannya dan sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr radhiallahu 'anh. Ia bukanlah bid‘ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid‘ah disebabkan hal ini, maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama. Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid‘ah’[Ibid]

Jelaslah ucapan ‘Umar bukanlah merujuk kepada bid‘ah yang dilarang oleh syarak tetapi merujuk kepada bid‘ah yang dimaksudkan dari segi bahasa atau keadaan. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah lalu berhenti disebabkan faktor penghalang yang dinyatakan tadi. 

Apabila faktor penghalang telah hilang, maka ‘Umar menghidupkannya semula. Justeru itu beliau menamakannya bid‘ah. Perkataan bid‘ah yang digunakan oleh ‘Umar radhiallahu 'anh hanya merujuk pada segi bahasa, tidak pada segi syarak. Dari segi syarak, ia adalah Sunnah kerana merupakan sesuatu yang pernah berlaku sebelumnya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Penjelasan cemerlang oleh Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin di atas sudah memadai bagi menjawab tohmahan syiah. Buku beliau Bid’ah Hasanah : Istilah yang disalah fahami boleh dibaca versi e-book disini



Riwayat-riwayat solat tarawih berjemaah dalam kitab-kitab syiah

Biarpun syiah imamiyah berpandangan solat tarawih tidak dilakukan secara berjemaah, terdapat juga riwayat-riwayat sahih (disisi mereka) dalam kitab mereka yang berpandangan selari dengan riwayat ahlu sunnah

Riwayat-riwayat ini tidak bernilai disisi ahlu sunnah cumanya ia dinukil sebagai bukti bahawa solat tarawih berjemaah bukanlah bid’ah seperti yang didakwakan mereka

محمّد بن يعقوب، عن علي بن إبراهيم، عن محمّد بن عيسى، عن يونس، عن أبي العبّاس وعبيد بن زرارة، عن أبي عبدالله ( عليه السلام ) قال: كان رسول الله ( صلى الله عليه وآله ) يزيد في صلاته في شهر رمضان، إذا صلّى العتمة صلّى بعدها، فيقوم الناس خلفه فيدخل ويدعهم، ثمّ يخرج أيضاً فيجيئون ويقومون خلفه فيدخل ويدعهم مراراً. قال: وقال: لا تصلّ بعد العتمة في غير شهر رمضان.
Terjemahan: Muhammad bin Ya`qub dari Ali bin Ibrahim dari Muhammad bin Isa bin `Ubaid dari Yunus bin Abd ar-Rahman dari  Abul-`Abbas dan  `Ubaid bin Zurarah dari Abu `Abdillah a.s katanya, ‘Rasulullah pernah menambah solatnya ketika Ramadhan, ketika dia bersolat Atamah (solat Isya') maka dia akan menambah solat selepas itu, maka manusia bangun untuk solat) di belakangnya, lalu dia masuk (ke rumah) dan meninggalkan mereka. Kemudian dia keluar lalu manusia datang dan berdiri di belakangnya, dia masuk dan meninggalkan.membiarkan mereka sekali lagi. Lalu dia bersabda; Jangan kamu solat selepas Atamah (Isya') di dalam bulan lain selain Ramadhan.

Rujukan: Wasail Shia karya Hurr al-‘Amili, Bab kesukaan solat nafilah bulan ramadhan, hadith no 10022

Hadith semakna hadith ini juga diriwayatkan dalam banyak kitab syiah yang lain seperti Tahzib al-Ahkam, al-Istibsar dan lain-lain

Syiah menolak penafsiran hadith ini dengan mengatakan nabi tidak berjemaah dengan mereka sebaliknya nabi sentiasa kembali ke rumah baginda apabila mereka berkumpul. Bahkan dalam riwayat syiah yang lain mengatakan nabi akan pulang ke rumah apabila takbir dilaungkan oleh jemaahnya. Mereka juga mengatakan ia adalah tahajjud dan bukannya tarawih

Bagi ahlu sunnah hadith ini jelas menunjukkan berjemaah untuk tarawih bukanlah sesuatu yang haram atau bid’ah. Ini kerana jika ia dilarang nescaya baginda s.a.w akan melarangnya dengan keras. Larangan baginda sallahu a’laihi wassalam tidak pernah terdapat dalam hadith-hadith sunni. Bahkan telahpun dijelaskan sebab mengapa baginda tidak berterusan melakukannya.

Selain itu, boleh saja baginda beberapa malam yang awal baginda bersolat bersama dengan makmumnya dan meninggalkannya apabila mereka berjumlah ramai. Ketika baginda meninggalkan mereka, boleh saja dikalangan mereka ada yang bertakbir.

Ulama ahlu sunnah sendiri menyatakan istilah ‘tarawih’ tidak wujud pada zaman awal maka istilah qiyam ramadhan itu sebenarnya merupakan solat tarawih.

Kesimpulan

Tindakan Umar al-Khattab bukanlah suatu bid’ah kerana ia pernah dilakukan di zaman baginda s.a.w. Tindakan baginda untuk tidak berterusan berjemaah adalah kerana kekhuatiran kefarduan ibadah terawikh yang mengakibatkan kesusahan ummatnya. Solat tarawih tidaklah wajib dilakukan berjemaah dan ia tidaklah bid'ah

Riwayat syiah sendiri juga membuktikan bahawa solat tarawih berjemaah juga berlaku pada zaman baginda  sallahu a’laihi wassalam

Maka menohmah Umar r.a adalah tindakan yang batil