Saturday, May 21, 2011

MENJAWAB SYUBHAH NABI MUHAMMAD S.A.W INGIN MEMBUNUH DIRI




‘’Nabi pilihan Tuhan ingin membunuh dirinya sendiri? Bukankah membunuh diri itu dosa yang besar?? Apakah Tuhan tidak tahu memilih utusanNYA?’
 
Inilah kenyataan songsang yang keluar dari mulut anti-Islam akibat gagal memahami methodologi hadith. Mereka gagal meneliti semua jalan-jalan periwayatan, tidak melihat kepada perbezaan dalam matan hadith sebaliknya hanya fokus kepada beberapa lafaz yang menguntungkan serangan mereka

Hadith yang dimaksudkan ialah berkenaan dengan awal penerimaan wahyu kepada baginda Muhammad s.a.w.  Hadith ini disebutkan al-Bukhari dalam banyak tempat di kitabnya. Ia mengisahkan bagaimana nabi s.a.w mendapat wahyu yang pertama, kisah kedatangan Jibril a.s dan kisah baginda berjumpa dengan Waraqah bin Naufal



Hadith-hadith berkenaan ini disebutkan dalam kitab Permulaan Wahyu dan Kitab Tafsir al-Quran dalam Sahih al-Bukhari. Namun dalam kitab Ta’bir, ada sedikit penambahan lafaz yang tiada dalam riwayat-riwayat yang sahih lainnya

Penambahan tersebut ialah seperti berikut

ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ وَفَتَرَ الْوَحْيُ فَتْرَةً حَتَّى حَزِنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا بَلَغَنَا حُزْنًا غَدَا مِنْهُ مِرَارًا كَيْ يَتَرَدَّى مِنْ رُءُوسِ شَوَاهِقِ الْجِبَالِ فَكُلَّمَا أَوْفَى بِذِرْوَةِ جَبَلٍ لِكَيْ يُلْقِيَ مِنْهُ نَفْسَهُ تَبَدَّى لَهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ حَقًّا فَيَسْكُنُ لِذَلِكَ جَأْشُهُ وَتَقِرُّ نَفْسُهُ فَيَرْجِعُ

Terjemahan: Kemudian setelah selang beberapa lama Waraqah wafat dan wahyu berhenti beberapa lama hingga nabi s.a.w bersedih. Berita yang sampai kepada kami,  kesedihan yang baginda sedemikian rupa mengakibatkan beliau pergi berkali-kali untuk menolakkan dirinya dari puncak bukit, ketikamana beliau naik untuk melakukan demikian maka datanglah Jibril dan mengatakan kepadanya ‘Wahai Muhammad , Sesungguhnya engkau adalah Rasul Allah yang sebenar-benarnya. Perkataan itu menjadikan hatinya lega dan jiwanya tenang dan kemudiannya baginda pulang

Rujukan: Sahih al-Bukhari, Kitab at-Ta’bir, hadith no 6467, Maktabah Shamela

Penambahan lafaz ini sebenarnya tidaklah sahih. Seperti yang disebutkan dalam teks, ia datang dalam bentuk فِيمَا بَلَغَنَا yakni ‘apa yang sampai kepada kita’. Ini dinamakan sebagai balaaghat az-Zuhri.

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, salah seorang pensyarah Sahih al-Bukhari menjelaskan dalam kitabnya Fath al-Bari

إِنَّ الْقَائِل فِيمَا بَلَغَنَا هُوَ الزُّهْرِيّ ، وَمَعْنَى الْكَلَام أَنَّ فِي جُمْلَة مَا وَصَلَ إِلَيْنَا مِنْ خَبَر رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذِهِ الْقِصَّة وَهُوَ مِنْ بَلَاغَات الزُّهْرِيّ وَلَيْسَ مَوْصُولًا

Terjemahan: Sesungguhnya yang berkata, 'apa yang sampai kepada kita' (balaghna) adalah az-Zuhri. Perkataan ini bermakna kenyataan tersebut telah sampai kepada kita khabar kisah ini dari Rasulullah sallahu wa’alaihi wassalam dan ia merupakan balaaghat az-Zuhri dan ia tidak bersambung sanadnya

Rujukan: Fath al-Bari 19/449, Maktabah Shamela

BANTAHAN ANTI-ISLAM

Setelah mengakui kelemahan lafaz tersebut, maka anti-Islam menggunakan peluang ini untuk menjatuhkan Sahih al-Bukhari. Mereka katakan inilah bukti Sahih al-Bukhari tidak sahih 100% bahkan diragui keasliannya kerana terdapat kelemahan dalam hadith-hadithnya

BIDASAN KEPADA BANTAHAN ANTI-ISLAM

Sesiapa yang mengkaji sahih al-Bukhari mengetahui bahawa tiada bukti lafaz hadith ini diterima bulat-bulat oleh al-Bukhari sendiri. Ini kerana beliau sendiri meletakkan hadith ini dengan pelbagai lafaz dan lafaz tambahan tersebut hanyalah lafaz terakhir setelah beliau meletakkan beberapa lafaz yang lainnya dalam sebelumnya yakni kitab Permulaan Wahyu dan Kitab Tafsir al-Quran.

Al-Bukhari sendiri telah meletakkan lafaz-lafaz hadith lainnya lebih sahih dan walaupun dia meletakkan lafaz ini, dia sendiri mengetahui ia adalah Balaaghat az-Zuhri

Balaaghat az-Zuhri ini sendiri ditolak oleh ulama hadith mutaqaddimun seperti Yahya bin Sa’id al-Qattan. 

Kata Ibnu Hajar al-Asqalani yang menaqalkan dari al-Kirmani

وَقَالَ الْكَرْمَانِيُّ : هَذَا هُوَ الظَّاهِر وَيَحْتَمِل أَنْ يَكُون بَلَغَهُ بِالْإِسْنَادِ الْمَذْكُور ، وَوَقَعَ عِنْد اِبْن مَرْدُوَيْهِ فِي التَّفْسِير مِنْ طَرِيق مُحَمَّد بْن كَثِير عَنْ مَعْمَر بِإِسْقَاطِ قَوْله " فِيمَا بَلَغَنَا " وَلَفْظه " فَتْرَة حَزِنَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهَا حُزْنًا غَدَا مِنْهُ " إِلَى آخِره ، فَصَارَ كُلّه مُدْرَجًا عَلَى رِوَايَة الزُّهْرِيّ وَعَنْ عُرْوَة عَنْ عَائِشَة ، وَالْأَوَّل هُوَ الْمُعْتَمَد

Terjemahan: Kirmani(pensyarah sahih al-Bukhari) berkata: Secara zahir ianya merupakan ‘balaghah’ dengan sanad seperti disebutkan. Ianya juga terdapat Tafsir Ibnu Mardawaih dari jalam Muhammad Bin Katsir dari Ma’mar dengan tiada lafaz “dalam cerita yang sampai pada kami” dan juga “ terhenti(wahyu) sehingga baginda s.a.w sedih dan berpagi” hingga akhir. Semua ini adalah mudraj ke atas riwayat Zuhri dan dari ‘Urwah dari ‘Aaisyah. Dan yang pertama adalah lebih terpakai.

Riwayat-riwayat yang lain yang semakna berkenaan dengan peristiwa permulaan wahyu juga disebutkan dalam Sahih Muslim, Mustadrak al-Hakim, Dalail an-Nubuwwah lil-Baihaqi dan Musnad Ahmad tetapi tidak mempunyai penambahan riwayat bunuh diri tersebut

Kedua, ahlu sunnah sendiri menerima terdapat kelemahan dalam kitab Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih al-Muslim) apabila ia diiktiraf sendiri oleh al-Bukhari dan Muslim. Kelemahan-kelemahan ini boleh dilihat dengan menilai susunan hadith dalam bab-bab yang mereka sendiri letakkan ataupun komentar mereka dalam kitab-kitab mereka yang lain. Walaupun mereka mensyaratkan hanya hadith yang sahih terdapat dalam kitab mereka, terdapat juga hadith-hadith lemah yang mereka sendiri meletakkannya bagi tujuan tertentu

Sebagai contoh, sila lihat manhaj Imam Muslim dalam kitab Sahihnya disini


Ketiga, ahlu sunnah menyebutkan Sahihain adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran namun tidak sekali-kali mengatakan kesemua hadith dalam kitab tersebut adalah sahih 100%

BIDASAN KEPADA SYIAH 

Syiah turut terlibat mengambil bahagian mencela ahlu sunnah dan menjadikan hadith ini sebagai modal. Malangnya, mereka sendiri tidak meneliti kitab-kitab mereka.

Dalam kitab-kitab mereka disebutkan para imam mengetahui perkara-perkara ghaib yakni perkara yang berlaku akan datang

Lebih khusus lagi, para imam mengetahui bila mereka akan mati

Bahkan dalam kitab mereka yang utama, Usul al-Kafi disebutkan satu bab yang berjudul

باب أن الائمة عليهم السلام يعلمون متى يموتون، وانهم لا يموتون الا باختيار منهم

Terjemahan: Bab Sesungguhnya para imam a.s mengetahui bila mereka akan mati dan mereka tidak mati melainkan dengan pilihan mereka
 

Telah tsabit disisi syiah kononnya al-Hasan r.a telah diracuni oleh isterinya hingga mati .

Persoalannya, jika al-Hasan mengetahui perkara ghaib dan dia boleh memilih ajalnya maka bukankah perbuatan membiarkan dirinya diracun isterinya itu sebenarnya adalah bunuh diri?? Mengapa dia mengahwini isteri yang kononnya bekerjasama dengan Muawiya r.a untuk membunuhnya??

Apakah seseorang yang membunuh diri boleh masih dianggap imam?

Syiah mungkin akan kata, perkara ini adalah taqdir yang tidak boleh diubah oleh al-Hasan. Ini tidak benar, sebabnya pilihan untuk mati adalah terletak kepada tangan beliau sendiri seperti yang disebutkan dalam bab Usul al-Kafi tersebut. Maka pilihan untuk bunuh diri adalah atas kehendak al-Hasan yang diizinkan oleh Allah

Kita biarkan persoalan ini kepada syiah dan teruskan bidasan kepada kristian pula

BIDASAN KEPADA KRISTIAN

Dalam sekian banyak perdebatan antara Islam dan Kristian, isu ini pasti dijadikan satu hujah oleh golongan kristian.

Malangnya, isu ini sangat mudah diterbalikkan kepada golongan kristian. Mereka mempunyai masalah apabila nabi Muhammad s.a.w dituduh bunuh diri sedangkan menurut mereka Jesus a.s dibunuh atas kerelaan diri baginda a.s sendiri!!

Bahkan menurut dokrin kristian, Jesus a.s telah melepaskan nyawanya di tangan yahudi secara sukarela bagi menghapuskan dosa manusia

Dalam erti kata lain, Isa a.s ‘membunuh diri’ bagi menghapuskan dosa manusia

Persoalan kita, jika tindakan Jesus a.s tidak salah dan tidak dipertikai maka mengapa tindakan Muhammad s.a.w (kalaupun sahih) dianggap salah??

Sudah tentu kristian akan mengatakan tindakan ‘bunuh diri’ itu dilakukan atas tujuan yang mulia

Bagi muslim, secara umumnya tindakan bunuh diri untuk umat Muhammad s.a.w adalah haram.

Lebih-lebih lagi, sifat Tuhan ‘membunuh diri’ tidak dapat diterima sama sekali

Persoalan lainnya, apakah tindakan Judas membunuh dirinya, salah satu pengikut Jesus a.s diampunkan??

Golongan kristian mempunyai masalah menanggapi masalah ini. Ini kerana tiada satu pun ayat dalam Bible menyatakan Judas diampunkan bahkan Jesus a.s sendiri melaknatnya

Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab. Tetapi celakalah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik untuk orang itu kalau ia tidak pernah lahir sama sekali!"(Matius 26:24)

Judas pula akhirnya membunuh diri setelah insaf kerana mengkhianati Jesus a.s

 Yudas melempar uang itu ke dalam Rumah Tuhan, lalu pergi dan menggantung diri.(Matius 27:5)

Persoalannya, apakah perbuatan membunuh diri Judas akibat menyesal ini diampunkan Jesus a.s?  Sekiranya diampunkan, bukankah ini menunjukkan Jesus a.s sendiri meredhai perbuatan bunuh diri Judas???

Tambahan, mengapa Judas perlu membunuh diri sepatutnya dia perlu berbangga dan meraikan kejayaanya. Pengkhianatannya menyebabkan Isa a.s ditangkap, disalib dan mati menurut kristian seterusnya dosa manusia semua terhapus!!!

KESIMPULAN

Umat Islam tidak berhujah dengan hadith ini. Tambahan hadith ini walaupun terdapat dalam Sahih al-Bukhari, bukanlah lafaz yang dijadikan hujah. Dalam Sahih al-Bukhari sendiri terdapat banyak lafaz lain yang tiada tambahan tersebut bahkan al-Bukhari sendiri menyebutkan ia sebagai balaaghat az-Zuhri

Maka janganlah kita termakan racun yang disuapkan oleh gabungan syiah dan kristian dalam mentohmah dan mencerca kitab Sahih al-Bukhari dan juga mempertikaikan kemuliaan peribadi mulia Rasulullah s.a.w




No comments: