Wednesday, September 14, 2011

Medan Hunain: Keteguhan Umar r.a al-Khattab dan para sahabah nabi




Peperangan Hunain berlaku selepas kejayaan Rasulullah s.a.w dalam pembukaan Kota Mekah di mana baginda terdengar adanya perancangan bani Hawazin dan Thaqif  pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif untuk menyerang umat Islam. Ia berlaku pada tahun ke-8 H pada bulan syawal.

Rasulullah s.a.w bersama ribuan tentera muslimin keluar menuju ke lembah Hunain. Keesokan harinya ketika mereka bersiap untuk berperang, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Keadaan ini mengucar kacirkan pertahanan mereka hingga menyebabkan sebahagian dari sahabah lari bertaburan. 


Keteguhan Muhajirin dan Ansar

Terdapat banyak riwayat sahih menyebutkan nama-nama sahabah yang berdiri teguh bersama nabi. Antara yang teguh bersama nabi ialah Abu Bakar, Umar, Ali, Al-`Abbas, `Ali, Al-Fadl bin `Abbas, Abu Sufyan bin Al-Harith dan lain-lain

Dalam potongan sebuah hadith disebutkan,

فَانْطَلَقَ النَّاسُ إِلَّا أَنَّ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَهْطًا مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ، وَأَهْلِ بَيْتِهِ غَيْرَ كَثِيرٍ، ثَبَتَ مَعَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ، وَمِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ، وَالْعَبَّاسُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَابْنُهُ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ، وَأَبُو سُفْيَانَ بْنُ الْحَارِثِ، وَرَبِيعَةُ بْنُ الْحَارِثِ، وَأَيْمَنُ بْنُ عُبَيْدٍ وَهُوَ ابْنُ أُمِّ أَيْمَنَ، وَأُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ

Terjemahan: Manusia (mereka yang berperang) berundur kecuali sekumpulan dari Muhajirin dan Ansar dan ahlul baitnya dan tetap bersamanya Abu Bakar dan ‘Umar, sebahagian dari ahli baitnya yakni Ali bin Abi Talib, al-‘Abbas bin Abdul Mutalib, anaknya al-Fadl bin ‘Abbas, Abu Sufyan bin al-Harith, Rabi’ah bin al-Harith, Ayman bin ‘Ubaid dan dia adalah Ummu Ayman, dan Usamah bin Zaid..

Rujukan:  Musnad Ahmad, Kitab Musnad Jabir bin Abdullah r.a, hadith no 15027, Maktabah Shamela

Selain dari hadith di atas, banyak kitab-kitab sejarah juga merekodkan perkara yang sama antaranya  seperti yang disebutkan Ibnu Kathir (al-Bidayah wa Nihayah 4/373,) Ibnu Hisham (Sirah Ibnu Hisham, 2/443) dan lain-lain

Jumlah sahabah yang teguh bersama nabi secara keseluruhannya dalam lingkungan 100 orang. 

At-Tirmidzi menyebutkan dalam Sunannya

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: «لَقَدْ رَأَيْتُنَا يَوْمَ حُنَيْنٍ وَإِنَّ الْفِئَتَيْنِ لَمُوَلِّيَتَيْنِ، وَمَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِائَةُ رَجُلٍ

Terjemahan: Dari Ibnu Umar katanya, ‘Pada hari Hunain, aku melihat dua kelompok yang yang melarikan diri dan mereka yang bersama dengan Rasulullah sallahu a’laihi wassalam adalah 100 orang

Rujukan: Sunan at-Tirmidzi, Kitab Jihad, Bab Tetap teguh dalam peperangan, no 1689, Maktabah Shamela

Hadith ini adalah sahih seperti mana kata Imam at-Tirmidzi sendiri iaitu Hasan Sahih Gharib dalam edisi tahqiq Syeikh Syakir serta disahihkan juga oleh Syeikh al-Albani

Tohmahan syiah kepada Umar r.a al-Khattab
Syiah menolak riwayat-riwayat sahih di atas dan mencari peluang menohmah Umar r.a

Mereka berhujahkan dengan potongan riwayat berikut

أَبَا قَتَادَةَ، قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمَ حُنَيْنٍ نَظَرْتُ إِلَى رَجُلٍ مِنَ المُسْلِمِينَ يُقَاتِلُ رَجُلًا مِنَ المُشْرِكِينَ، وَآخَرُ مِنَ المُشْرِكِينَ يَخْتِلُهُ مِنْ وَرَائِهِ لِيَقْتُلَهُ،فَأَسْرَعْتُ إِلَى الَّذِي يَخْتِلُهُ، فَرَفَعَ يَدَهُ لِيَضْرِبَنِي وَأَضْرِبُ يَدَهُ فَقَطَعْتُهَا، ثُمَّ أَخَذَنِي فَضَمَّنِي ضَمًّا شَدِيدًا، حَتَّى تَخَوَّفْتُ،ثُمَّ تَرَكَ، فَتَحَلَّلَ، وَدَفَعْتُهُ ثُمَّ قَتَلْتُهُ، وَانْهَزَمَ المُسْلِمُونَ وَانْهَزَمْتُ مَعَهُمْ، فَإِذَا بِعُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ فِي النَّاسِ، فَقُلْتُلَهُ: مَا شَأْنُ النَّاسِ؟ قَالَ: أَمْرُ اللَّهِ

Terjemahan: Abu Qatadah mengatakan: Ketika hari (peperangan) Hunain, aku melihat muslimin berbunuhan dengan musyrikin, seorang dari musyrikin menyusup dari belakang untuk membunuhnya (muslim), aku datang kepadanya dengan cepat, dia mengangkat tangannya untuk memukulku dan aku pukul dan potong tangannya, kemudian dia mengambilku dan memelukku dengan pelukan yang kuat sehingga aku rasa takut, dia melepaskanku dan meninggalkanku, aku menolaknya dan membunuhnya. Muslimin dikalahkan dan aku kalah bersama mereka, aku bertemu Umar dikalangan mereka, aku berkata kepada dia : Apakah terjadi pada manusia (tentera yang berundur)? Katanya: Ini adalah urusan (taqdir) Allah

 Rujukan:  Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Firman Allah: dan (ingatlah) peperangan Hunain..hadith no 4322, Maktabah Shamela

Syiah berhujah bahawa hadith ini menunjukkan Abu Qatada menyapa Umar r.a dalam keadaan dia lari medan perang . Umar r.a mengatakan ini adalah perintah Allah. 

Bidasan kepada tohmahan syiah

Dalam lafaz hadith di atas, tidak jelas lafaz menunjukkan Umar r.a lari dari medan perang. Abu Qatadah hanyalah menyapa Umar r.a. Hanya kerana Umar r.a berada bersama mereka belum tentu Umar r.a juga melakukan perkara yang sama dengan mereka

Bahkan telah dibuktikan sebelumnya bahawa Umar r.a antara yang tetap bersama dengan nabi. Jika syiah masih tetap dengan dakyah mereka, logik yang sama juga boleh dipakai kepada Ali r.a.  Apakah syiah akan menerima bahawa Ali r.a juga termasuk dikalangan mereka yang lari? Dah tentu mereka menolak kerana nama Ali r.a jelas termasuk dalam senarai mereka yang tetap. Maka begitu jugalah dengan Umar r.a

Keduanya, Abu Qatadah mengakui bahawa dia termasuk dalam tentera yang mengundur. Maka kenapa dia tidak mengatakan Umar bersama kami?? Sebaliknya dia mengatakan Umar bersama mereka??

Ketiganya, apa logik Umar r.a al-Khattab melarikan diri dalam medan perang sedangkan dalam kitab-kitab syiah sendiri menohmah beliau sebagai seorang yang kejam dan sentiasa menindas Ali r.a. Bahkan ada syiah yang berhujah kononnya Umar menendang perut Fatimah walaupun dengan kehadiran Bani Hashim dan Ali r.a disisinya?? Apakah logik Umar r.a begitu berani dengan Ali r.a yang gagah perkasa tapi takut dengan tentera musuh??

Adapun pernyataan ‘ أَمْرُ اللَّهِbukanlah bermaksud perintah Allah untuk melarikan diri tapi difahami bahawa pengunduran tentera ini merupakan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah.

Keampunan Allah kepada sahabah yang lari

Kita tidak menafikan bahawa memang ada sebahagian sahabah yang lari medan Hunain akibat terkejut dengan serangan mendadak pihak musuh. Namun, mereka akhirnya kembali dan berperang bersama dengan nabi

Al-Mubarakfuri menyebutkan dalam kitabnya, Raheeq Makhtum (nukilan berpisah)

‘Rasulullah s.a.w memerintahkan pakcik beliau, al-‘Abbas, orang yang suaranya paling lantang untuk menyeru sahabat. Al-‘Abbas menuturkan, “Aku pun berteriak dengan suara sekeras-kerasnya, “Manakah orang-orang yang berikrar di bawah pohon?”

Al-‘Abbas menuturkan, “Demi Allah, seakan-akan perasaan mereka mendengar teriakanku ini seperti perasaan seekor sapi induk terhadap anaknya”

Mereka menyahut, “Kami mendengar seruanmu. Kami mendengar seruanmu.”…

Seruan juga ditujukan kepada orang-orang Anshar, “Wahai semua orang Anshar..” Bahkan seruan juga ditujukan kepada Bani al-Harith bin al-Khazraj. Kini sudah berhimpun pasukan Muslimin yang cukup banyak . 

Rujukan: Raheeq al-Makhtum, Bab Orang-Orang Islam kembali dan peperangan berkobar, 1/383. Maktabah Shamela
 
Para sahabah kembali berperang dan bertaubat akan kesilapan mereka. Allah telah memberikan ketenangan kepada mereka, mengampunkan dan menerima taubat mereka.

Allah s.w.t menyatakan dalam al-Quran, 

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ (25) ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ (26) ثُمَّ يَتُوبُ اللَّهُ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (27)

Terjemahan: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. Sesudah itu Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (at-Taubah 9:25-27)

Ulasan tambahan

Andaipun kita bersetuju dengan syiah bahawa Umar r.a lari dari medan Hunain, beliau telahpun diampunkan oleh Allah s.w.t

Persoalannya, mengapa syiah mencerca dan mengutuk orang yang telah dimaafkan Allah?? Apakah syiah tidak redha kepada tindakan Allah s.w.t??

Ahlu sunnah mengakui kesalahan para sahabah yang lari ini dan menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar. Namun sekali-kali riwayat ini tidak dijadikan sarana untuk menjatuhkan kredibiliti sahabah nabi

Berbeza dengan syiah, mereka menukil dengan niat mencerca dan menohmah sahabah nabi.

Bayangkan seorang guru, A mengampunkan kesalahan B, C pula terang-terangan mencerca tindakan B dihadapan A. Bukankah jelas menunjukkan C sebenarnya tidak redha dengan tindakan A??

Maka tindakan syiah mencerca para sahabah nabi melalui riwayat ini sebenarnya menidakkan dan mempertikaikan Allah s.w.t

Kesimpulan

Kegelinciran sebahagian sahabah nabi di medan Hunain telah ditegur Allah s.w.t. Dalam masa yang sama, Allah sendiri telah memberikan ketenangan kepada mereka dan mengampunkan perbuatan mereka. Tindakan mencerca sahabah nabi dan menjatuhkan kredibiliti mereka melalui riwayat-riwayat ini adalah dengan tujuan jahat dan ketidakredhaan kepada tindakan Allah

Umar r.a al-Khattab tidak melarikan diri dari medan Hunain dan dia termasuk dikalangan mereka yang teguh bersama nabi

Rujukan lanjut


Tuesday, September 13, 2011

Matahari terbenam dalam air lumpur? Bidasan kepada anti-Islam


 
Dalam mana-mana perdebatan Islam dan kristian, isu ini sering ditimbulkan. Golongan anti-Islam suka memetik ayat berikut bagi memenangkan dakyah mereka

حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِنْدَهَا قَوْمًا قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَنْ تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَنْ تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا (86)

Terjemahan: Hingga apabila dia telah sampai ketempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: "Hai Dzulkarnain, kamu boleh menyiksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka.(Surah al-Kahfi ayat 86)

Golongan anti-Islam berhujah bahawa ayat ini tidak saintifik. Mana mungkin matahari terbenam dalam lumpur?? Mereka mendakwa ini adalah mitos ayat al-Quran


Konteks sebenar  ayat 86 surah al-Kahfi

Apabila diteliti ayat tersebut dengan cermat, perkataan arab yang digunakan ialah ‘وَجَدَهَاyakni membawa maksud ‘dia mendapatinya’. Dia dalam ayat ini, perkataan 'dia mendapati' merujuk kepada Zulqarnain manakala ‘nya’ dalam ayat ini merujuk kepada matahari.

Konteks ayat ini menerangkan Zulqarnain tiba di satu kawasan dan dia mendapati matahari terbenam di laut yang berlumpur. Itu bukanlah bermaksud matahari benar-benar terbenam dalam lumpur sebaliknya al-Quran mengisahkan persepsi Zulkarnain berdasarkan apa yang dilihat oleh matanya

Sebagai contoh, apabila seseorang berdiri di tepi pantai dan melihat matahari terbenam, kita akan mendapati matahari seolah-olah terbenam  ke lautan. Ini hanyalah perspektif mata kita semata-mata.

Pandangan ulama tafsir berkenaan dengan ayat 86 surah al-Kahfi

Ulama-ulama tafsir juga tidak berpandangan matahari terbenam di laut yang berlumpur hitam. 

Al-Baidhawi menyebutkan

ولعله بلغ ساحل المحيط فرآها كذلك إذ لم يكن في مطمح بصره غير الماء ولذلك قال وَجَدَها تَغْرُبُ ولم يقل كانت تغرب

Terjemahan: Dia berkemungkinan sampai ke tepian laut dan melihatnya seperti itu disebabkan apa yang dilihat hujung matanya  hanyalah air  maka perkataan ‘dia mendapatinya (matahari) terbenam’ bukanlah bermakna ia terbenam (dalam air) 

Rujukan:  Tafsir al-Baidhawi, 3/291, Maktabah Shamela

Al-Qurtubi menaqalkan perkataan al-Qaffal

وَقَالَ الْقَفَّالُ قَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ: لَيْسَ الْمُرَادُ أنه انتهى إلى الشمس مغربا ومشرقا حتى وصل إلى جرمها ومسها، لأنها تدور مَعَ السَّمَاءِ حَوْلَ الْأَرْضِ مِنْ غَيْرِ أَنْ تَلْتَصِقْ بِالْأَرْضِ، وَهِيَ أَعْظَمُ مِنْ أَنْ تَدْخُلَ فِي عَيْنٍ مِنْ عُيُونِ الْأَرْضِ، بَلْ هِيَ أَكْبَرُ مِنَ الْأَرْضِ أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً، بَلِ الْمُرَادُ أَنَّهُ انْتَهَى إِلَى آخِرِ الْعِمَارَةِ مِنْ جِهَةِ الْمَغْرِبِ وَمِنْ جِهَةِ الْمَشْرِقِ، فَوَجَدَهَا فِي رَأْيِ الْعَيْنِ تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ، كَمَا أَنَّا نُشَاهِدُهَا فِي الْأَرْضِ الْمَلْسَاءِ كَأَنَّهَا تَدْخُلُ فِي الْأَرْضِ

Terjemahan: Al-Qaffal berkata: Berkata sebahagian ulama: bukanlah bermaksud terbenamnya atau terbitnya (dalam ayat ini) bermakna sampai ke pusatnya atau menyentuhnya kerana ia (matahari) bergerak dalam langit sekitar bumi dengan tanpa memasuki bumi, bahkan ia besar daripada bumi berlebihan gandanya. bahkan ia sampai ke penghujung daripada arah barat dan daripada arah timur, maka Dia(DzulQarnain) mendapati menurut pandangan matanya, matahari itu terbenam di dalam lumpur sepertimana kita menyaksikannya di tempat yang lembut ketika ia (matahari) memasukinya

Rujukan: Tafsir al-Qurtubi,11/49-50, Maktabah Shamela
 
وَقَوْلُهُ: {وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ} أَيْ: رَأَى الشَّمْسَ فِي مَنْظَرِهِ تَغْرُبُ فِي الْبَحْرِ الْمُحِيطِ، وَهَذَا شَأْنُ كُلِّ مَنِ انْتَهَى إِلَى سَاحِلِهِ، يَرَاهَا كَأَنَّهَا تَغْرُبُ فِيهِ

Terjemahan:Dan Allah SWT berfirman: {dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam} yakni: Dia (Dzulqarnain) melihat matahari dalam pandangannya terbenam dalam laut yang luas, ini sama seperti seseorang yang melihat tepian laut dan melihatnya seperti terbenam 
 dalamnya

Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir, 5/191, Maktabah Shamela

Kenyataan ulama-ulama tafsir ini jelas menunjukkan ayat tersebut tidak bermaksud matahari benar-benar terbenam dalam lautan berlumpur

Nukilan Bible berkenaan matahari terbenam 

Jika diteliti dalam Bible, kita juga dapati ayat menyatakan matahari terbenam berdekatan negeri orang Kan’an

Bukankah keduanya terletak di sebelah barat sungai Yordan, di belakang jalan raya sebelah matahari terbenam, di negeri orang Kanaan yang diam di Araba-Yordan, di tentangan Gilgal dekat pohon-pohon tarbantin di More? (Ulangan 11:30)

Bahkan terjemahan english lebih jelas

Are they not beyond the Jordan, west of the road, where the sun goes down, in the land of the Canaanites living in the Arabah opposite Gilgal, beside the oaks or terebinths of Moreh? (Deutronomy 11:30)

Maka dengan standard yang sama, apakah kita boleh mendakwa menurut kepercayaan Bible, matahari terbenam di tanah Kanaan? Dah tentu tidak

Maka begitu jugalah konteks al-Kahfi ayat 86 

Kesimpulan

Surah al-Kahfi ayat 86 tidak sekali-kali menjadi bukti bahawa matahari terbenam dalam lautan yang lumpur. Sebaliknya ia hanyalah menurut apa yang dilihat secara mata kasar oleh Zulqarnain. Ia hanyalah diskripsi berdasarkan apa yang dilihat oleh mata. 

Rujukan  dan bacaan lanjut


Penghargaan kepada Fikri Az-Zahabi dan Uts Adou atas bantuan terjemahan

Saturday, August 6, 2011

Menjawab syubhah khalifah Islam melarang penulisan hadith


Salah satu cubaan anti-Islam memesongkan agama ini adalah dengan menyerang kepada sumber asasnya. Al-Hadith merupakan sumber kedua umat Islam. Maka tidak hairanlah golongan anti-Islam seperti golongan syiah, kristian dan anti-hadith akan mencari-cari alasan untuk dijadikan modal dakyah menjatuhkan kredibiliti hadith

Dalam artikel kali ini, kita akan fokuskan khasnya tuduhan mereka ke atas khalifah Abu Bakar dan Umar r.a. . Fokus tuduhan kali ini adalah syiah.

Syiah menohmah para khalifah Islam yang hebat ini gagal memelihara sumber kedua umat Islam 




Golongan syiah menohmah Abu Bakar r.a dengan katanya: 

Khalifah Abu Bakar telah melarang orang ramai dari menulis dan meriwayatkan Sunnah Nabi SAWA. Dia berucap kepada orang ramai selepas kewafatan Nabi SAWA,"Kalian meriwayatkan daripada Rasulullah SAWA hadithhadith di mana kalian berselisih faham mengenainya. Orang ramai selepas kalian akan berselisih faham lebih kuat lagi. Justeru itu janganlah kalian meriwayatkan sesuatupun (syaian) daripada Rasulullah SAWA. Dan sesiapa yang bertanya kepada kalian, maka katakanlah:Bainana wa bainakum kitabullah (Kitab Allah di hadapan kita). Maka hukumlah menurut hala dan haramnya."[Al-Dhahabi, Tadhkirah al-Huffaz,I,hlm.3]

Oleh itu tidak hairanlah jika Khalifah Abu Bakar tidak pernah senang hati semenjak dia mengumpulkan lima ratus hadith Rasulullah SAWA semasa pemerintahannya. Kemudian dia membakarnya pula.[al-Muttaqi al-Hindi, Hanz al-Ummal,V,hlm. 237] Dengan ini dia telah menghilangkan Sunnah Rasulullah
SAWA.

Oleh itu kata-kata Abu Bakar:"Janganlah kalian meriwayatkan sesuatupun daripada Rasulullah SAWA" menunjukkan larangan umum terhadap pengriwayatan dan penulisan hadith Rasulullah SAWA. Dan ianya tidak boleh ditakwilkan sebagai berhati-hati atau mengambil berat atau sebagainya


Manakala tohmahan mereka kepada Umar r.a al-Khattab adalah seperti berikut


Ibn Sa'd dalam Tabaqatnya, V hlm. 140 meriwayatkan bahawa apabila hadith atau Sunnah Rasulullah SAWA banyak diriwayatkan dan dituliskan pada masa Umar bin al-Khattab, maka dia menyeru orang ramai supaya membawa kepadanya semua hadith-hadith yang ditulis, kemudian dia memerintahkan supaya ianya dibakar.

Oleh itu tidaklah hairan jika khalifah Umar menahan tiga orang sahabat di Madinah sehingga mati, kerana meriwayatkan banyak hadith Rasulullah SAWA. Mereka ialah Ibn Mas'ud, Abu Darda' dan Abu Mas'ud al-Ansari.[al-Dhahabi, Tadhkirah al-Huffaz, I,hlm. 8; al-Haithami, Majma al-Zawaid,I,hlm. 149; al-Hakim, al-Mustadrak,I,hlm. 110] Khalifah Umar berkata kepada Abu Darda:"Apa hadith daripada Rasulullah?"Abu Salmah bertanya kepada Abu Hurairah:"Adakah anda meriwayatkan hadith semacam ini pada masa Umar?"Abu Hurairah menjawab:"Sekiranya aku meriwayatkan hadith (semacam ini) pada masa Umar nescaya dia memukulku dengan cemetinya>"[al-Dhahabi, Tadhkirah al- Huffaz,I,hlm. 7]

* Nukilan di atas dipetik sepenuhnya daripada sumber Syi`ah termasuk kesilapan ejaan pada nama kitab. Perhatikan kesalahan mereka mengeja kitab al-Muttaqi al-Hindi, kitab Kanzul al-Ummal dieja sebagai  Hanz al-Ummal!!

Alhamdulillah,  tuduhan-tuduhan ini telah dijawab dengan kemas oleh Hafiz Firdaus Abdullah, dalam bukunya 20 Hujah Asas Golongan Anti Hadis dan Jawapannya

Hafiz Firdaus Abdullah menjawab dakwaan di atas dalam dua bahagian, 

a) Larangan menulis hadis oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam
b)  Larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma.

Larangan menulis hadis oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam


Hafiz Firdaus Abdullah menjelaskan, 

Riwayat hadis yang dimaksudkan sebagai larangan penulisan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah seperti berikut: Berkata Abu Sa’id al-Khudri radiallahu-anhu, telah bersabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.[1]

Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia sebenarnya hanyalah melarangan penulisan hadis di atas kertas atau lembaran yang sama dengan al-Qur’an. 

Penjelasan ini adalah berdasarkan hadis berikut dari Abu Hurairah radiallahu-anhu:

Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka di satu hari beliau datang kepada kami dan berkata: Apakah tulisan-tulisan ini ? Maka kami menjawab: Apa yang kami dengar dari engkau. Lalu beliau berkata: Tulisan bersama Kitab Allah (al-Qur’an) ? Kami menjawab: (Ya !) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau). Lalu bersabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:

Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia.[2]

Di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, bahan-bahan tulis seperti kertas papri sudahpun wujud[3] dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi, perlembagaan negara dan al-Qur’an. 

Akan tetapi jumlahnya agak terhad dan tidak memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatit al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah.

 Lebih-lebih lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti dengan penerangan, penjelasan dan pengamalannya, yakni teori dan praktikalnya. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah pengamalannya.[4]

Sesetengah sahabat mencatit ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan Rasulullah dan pada waktu yang sama mencatit juga keterangan dan kaedah pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah.

Apabila hal ini diketahui oleh Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga

. Inilah yang dimaksudkan beliau: Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain Kitab Allah ? Jagalah ketulenan Kitab Allah dan janganlah mencemari ia ......... iaitu kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi ayat-ayat al-Qur’an sahaja dan tidak apa-apa lain selainnya.

Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari al-Qur’an, maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. 

Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr radiallahu-anhu:

Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraish menegahku dengan berkata: Apakah kamu menulis segala sesuatu ? Bukankah Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga ?  Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:

Tulislah ! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar). [5]

Selain itu perlu juga dibetulkan rumusan Golongan Anti Hadis bahawa memandangkan Rasulullah melarang penulisan hadis-hadisnya, ia bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya dijadikan sebahagian dari sumber syari’at Islam. Rumusan ini tidak benar kerana jika dikaji semula hadis di atas akan di dapati bahawa di sebalik larangan menulis hadis, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetap menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. 

Berikut penulis kemukakan semula hadis tersebut dan perhatikan bahagian yang digariskan:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.

Pada ketika yang lain Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda:

Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain. [6]

Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu akan didengarkan dari kalian, selanjutnya akan didengar pula dari orang yang mendengar dari kalian.[7]

Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas lembaran yang sama dengan tulisan al-Qur’an.[8]

Notakaki

[1]Sahih: Hadis dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, ad-Darimi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab az-Zuhud dan Raqa’iq, Bab Kedudukan hadis dan penulisannya).

[2] Hasan: Sebahagian dari hadis yang panjang dengan 3 jalan periwayatan:

a. Dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dalam al-Musnad – no: 11034. (Musnad Abu Said al-Khudri, hadathana Ishaq bin ‘Isa) dari jalan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dan beliau adalah perawi yang dilemahkan oleh majoriti. Hamzah Ahmad Zain menguatkan hadis ini ke taraf hasan kerana maksudnya selari dengan riwayat Abu Said al-Khudri yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab sahihnya no: 3004 sebagaimana yang telah disalin di atas (Hadis A). Lihat juga Musnad Ahmad – no: 11027.

b.Dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no: 7514 dengan lafaz yang sedikit berbeza dari jalan Zaid bin Aslam tanpa anaknya Abdurrahman, namun dalam isnad ini terdapat Isa bin Maimun al-Madani dan adalah beliau seorang yang daif. Lihat al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal – perawi no: 1388.

c. Dari Abdullah bin Amru radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 62, ms 44-45 dengan lafaz yang juga sedikit berbeza dari jalan selain Zaid bin Aslam, tetapi tetap melalui Isa bin Maimun dan adalah beliau seorang yang daif.

Ketiga-tiga jalan di atas adalah daif dan lafaznya juga sedikit berbeza antara satu sama lain. Tetapi tetap mengandungi satu persamaan, iaitu pertanyaan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam kepada para sahabat yang sedang menulis hadis: “Tulisan bersama Kitab Allah ?” diikuti peringatan untuk menjaga ketulenan Kitab Allah, iaitu al-Qur’anul Karim. 

Justeru penulis menilai hadis ini hasan li-ghairihi atas dasar 3 jalan isnad di atas yang saling menguat antara satu sama lain.

[3]Montgomery Watt & Richard Bell – Introduction to The Qur’an, pg 31-33

[4] Tafsir Ibnu Katsir, jld 1, ms 6 (bhg muqaddimah).

[5]  Sahih: Hadis dikeluarkan oleh  Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no: 1532.

[6] Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagier – no: 9264 dan dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 6763.

[7] Sahih: Hadis dari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban dan ath-Thabarani, dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban – no: 062. (Kitab al-Ilmu, Bab Memperingatkan Sunnah-sunnah dari (melalui) pendengaran......).

[8]   Mustafa Azami – Studies in Hadith Methodology and Literature, pg 28; Muhammad Hamidullah – Sahifah Hamman ibn Munabbih, pg 104-106.


Larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab ra

Kini kita beralih pula kepada golongan syiah yang menohmah khalifah Islam khasnya Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma.

Sekali lagi jawapan Hafiz Firdaus dijadikan rujukan

Hampir semua riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di zaman pemerintahan mereka adalah daif. Antara yang masyhur dikatakan tentang Abu Bakar adalah kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau membakarnya.[9] 

Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah antara kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan maka halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia.[10]

 Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana isnadnya memiliki beberapa kecacatan.

Umar al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda dan Abu Mas’ud al-Anshari radiallahu-anhum kerana banyak menyampaikan hadis.[11] 

Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau bermesyuarat dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan tersebut. Akan tetapi sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya.[12] 

Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah menjadi persaingan (menjadi banyak)[13] di masa Umar bin al-Khattab. Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka membawanya (hadis-hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka apabila telah dibawa kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu kemudiannya ditahan ia (tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak dikembalikan). 

Berkata Umar: Dua (kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua (kitab) pada waktu yang sama (seperti perbuatan) Ahli Kitab ? [14]

Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah dan dakwaan. Hanya sahaja dalam bab ini terdapat dua riwayat lain yang sahih yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya.

Riwayat-riwayat yang dimaksudkan adalah:

Riwayat Pertama:

Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang Ansar radiallahu-anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an mereka. 

Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini.[15]

Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi priority kepada kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya. Perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya penyampaian hadis Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.

Sekali lagi ditekankan bahawa tidak boleh membuat kesimpulan yang mutlak bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan, periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas. Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah yang baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas mengajar agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ini jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era pemerintahannya, di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah ! Saksikanlah Engkau atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah mengutus mereka untuk mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi mereka.[16]

Riwayat Kedua:

Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radiallahu-anhu: Engkau (perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau aku akan mengusir kamu ke daerah Daus.[17] 

Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada tempatnya sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi kekeliruan di dalamnya.[18] 

Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu Hurairah supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya secara formal dan tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara mutlak.

Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.[19] 

Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi oleh suasana angin ribut yang kencang. 

Lalu Umar bertanya kepada rombongannya: Adakah sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin kepada kami ? Maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis Rasulullah tentang angin kecuali Abu Hurairah, beliau menunggang kepada Umar lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa engkau bertanya tentang angin dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:

Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia datang dengan membawa rahmat dan ia datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika engkau melihatnya maka janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya.[20] 

Umar tidak menolaknya hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.

Harap penjelasan ringkas di atas dapat membersihkan pelbagai dakwaan bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan penyampaian hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di zaman pemerintahan mereka. Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah ayat al-Qur’an:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat [al-Ma’un 107:04] lalu terus dibuat rumusan bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang dicela lagi tidak dituntut oleh Islam. 

Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat di atas sahaja dan dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang menerangkan kewajipan dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas sebenarnya hendaklah difahami dengan sambungan ayat seterusnya:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; laitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). [al-Ma’un 107:4-6]

Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidun ke atas sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Kita tidak boleh membuat rumusan bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti penulisan, periwayatan, pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang sama terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan mereka. 

Lebih dari itu terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka riwayatkan sendiri sebagaimana yang nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis.[21] Oleh itu adalah sangat tidak benar rumusan dan dakwaan Golongan Anti Hadis (dan juga syiah: tambahan saya) yang mengatakan para Khalifah ar-Rashidun telah menghalang dan melarang aktiviti-aktiviti ilmiah yang berkaitan dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Notakaki

[9] Daif: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 10-11 dari jalan Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan, dari Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah at-Taymi, diceritakan kepada aku oleh al-Qasim bin Muhammad, bahawa berkata A’isyah radiallahu-anha ....... sepertimana mana di atas. Isnadnya daif kerana memiliki beberapa kecacatan, iaitu:

[a] Ali bin Saleh – berkata Ibnu Katsir: Tidaklah dia dikenali. [al-Hindi – Kanz al-Ummal – no: 29460]

[b] Musa bin Abdullah - beliau diperselisihkan, lihat Lisan al-Mizan, jld 6, ms 123, perawi no: 465; al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal, jld 6, ms 346, perawi no: 1826 dan Daif al-Uqaili, jld 4, ms 159, perawi no: 1730.

[c] Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah – beliau tidak dikenali. Biografinya tidak disebut atau dibicarakan oleh mana-mana ahli hadis.

Oleh itu berkata adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 11 setelah mengemukakan riwayat ini: Maka riwayat ini – tidaklah ia sah, Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui. Dan berkata Ibnu Katsir sebagaimana nukil al-Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 29460: Hadis dengan wajah seperti ini adalah aneh.

[10]Daif: Dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 9 dan berkata adz-Dzahabi: Maka adalah ia mursal (iaitu isnadnya terputus). Oleh itu riwayat ini adalah daif juga.

[11]Daif: Dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no: 3449 dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 12 dan dalam Siyar A’lam Nubala, jld 7, ms 206. Juga dikeluarkan oleh an-Nasai dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 11, ms 555. Kedua-duanya dari jalan Abdullah bin Idris, dari Syu’bah, dari Sa’ad ibnu Ibrahim, dari ayahnya, bahawasanya Umar al-Khattab.....sepertimana di atas. Isnadnya daif juga kerana beberapa sebab:

[a] Syu’bah – adalah beliau diragukan. Lihat Ibnu Hazm – al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 2, ms 256-258

[b] Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf, beliau tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab. Ibrahim lahir pada 20H manakala Umar meninggal dunia pada 23H. Tidak mungkin Ibrahim meriwayatkan hadis pada umur 3 tahun melainkan beliau mendengarnya dari seseorang lain yang tidak diketahui. Justeru isnad riwayat ini terputus. Lihat Majma az-Zawaaid, jld 1, ms 149.

[c]Daif: Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20484. Juga secara ringkas oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 3, ms 287. Semuanya dari jalan Ibnu Shihab az-Zuhri, dari Urwah al-Zubair, bahawa Umar al-Khattab ........ Isnad ini terputus kerana Urwah bin al-Zubair (93H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H).

[13] Demikian lafaz yang dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 5, ms 59.

[14] Daif: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 5, ms 188 dengan isnad yang terputus juga kerana al-Qasim bin Muhammad (106H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H).

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Abdil Barr dan ad-Darimi, dinilai sahih oleh Muhammad an-Nasr dalam Sunan Ibnu Majah – no: 028 (Bab Kehati-hatian Sahabat dalam meriwayatkan hadis dari Rasulullah).

[16] Sahih: Sebahagian dari teks khutbah Umar al-Khattab radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 341. (Musnad Umar al-Khattab, hadathana Muhammad bin Ja’far......).

[17]Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 50, ms 172 dan dinukil oleh Ibnu Katsir dan adz-Dzahabi. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Syu’aib al-Arnuth dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 600-601. Dalam bab ini terdapat dua riwayat lain bahawa Abu Hurairah kemudiannya tidak lagi meriwayatkan hadis di zaman Umar kerana takut dirinya dipukul oleh Umar. Kedua-dua riwayat tersebut adalah daif, keterangannya seperti berikut:

[a] Dari Muhammad bin Ajalan, dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 601. Muhammad bin Ajalan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah, justeru isnad riwayat ini terputus sebagaimana terang Syu’aib al-Arnuth.

[b] Dari Ibnu Shihab az-Zuhri, dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20496. Saya berkata, isnad riwayat ini juga terputus kerana Ibnu Syihab az-Zuhri yang lahir pada tahun 50H tidak sempat meriwayatkan dari Abu Hurairah yang meninggal dunia pada tahun 59H. Perhubungan yang sahih antara Ibnu Syihab dan Abu Hurairah adalah melalui perantaraan seorang perawi yang lain, tidak secara terus.

[18]Sebagaimana terang Ajaj al-Khatib dalam Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 495. Lebih lanjut lihat Bidayah wa Nihayah, jld 8, ms 107-108.

[19] Dalam satu riwayat lain, Umar sendiri telah membenarkan Abu Hurairah meyampaikan hadis dengan kata beliau: Jika demikian, maka pergilah dan riwayatkanlah hadis. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 603 dari jalan Yahya bin Ubaidullah, beliau dinilai terpercaya oleh Ibnu Hibban tetapi dilemahkan oleh lain-lain ahli hadis.

[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 7619. 

Musuh-musuh Abu Hurairah mungkin berkata hadis di atas sengaja dicipta oleh Abu Hurairah untuk mendapatkan tempat di sisi Umar al-Khattab. 

Tuduhan ini adalah tidak benar kerana hadis yang sama di atas juga telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah kepada beberapa orang lain tanpa diminta atau ditanya oleh Umar, lihat Sahih Sunan Abu Daud – no: 5097 dan Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, jld 14, ms 1.

Malah hadis di atas juga diriwayatkan oleh tiga orang sahabat yang lain radiallahu-anhum, iaitu A’isyah dalam Sahih Muslim – no: 899-1; Ubay bin Ka’ab dalam Sahih Sunan Tirmizi – no: 2252 dan Abu Darda dalam Musnad ‘Abad bin Hamid bin Nasr – no: 199.

[21] Terdapat 81 buah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar yang tercatit di dalam Musnad Ahmad manakala dalam Musnad Abu Bakar as-Siddiq oleh al-Mawarzi terdapat 143 buah. Dari Umar al-Khattab pula terdapat lebih 300 buah hadis dalam Musnad Ahmad. Dalam Jamii’ al-Musnaidi wa as-Sunan oleh Ibnu Katsir pula terdapat banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua sahabat ini sama ada terus dari Rasulullah atau riwayat bersama melalui para sahabat lainnya.

Jawapan tuntas oleh Hafiz Firdaus Abdullah ini sudah cukup untuk menjawab tomahan syiah tersebut. 

Sebagai bacaan lanjut, silalah menelaah keseluruhan buku beliau yang bertajuk 20 Hujah Asas Golongan Anti Hadis dan Jawapannya  dalam versi e-book di pautan berikut


Kesimpulan

Para khalifah Islam tidak sekali-kali menolak hadith dibukukan bahkan mereka sendiri mengambil inisiatif untuk memelihara tafsiran al-Quran

Tuduhan golongan anti-Islam ternyata salah dan petikan mereka bertujuan untuk menjatuhkan sumber kedua Islam

Riwayat-riwayat yang mereka bawakkan hampirnya kesemuanya lemah dan tidak boleh dipertanggungjawabkan